#MADU ~ 'Saya belum layak dipanggil jutawan' - Shuib Sepahtu

SARAH bangga dengan pencapaian Shuib dalam bidang perniagaan. - Foto Rosdan Wahid

 Pernah rugi besar apabila produk diusahakan gagal di pasaran, pasangan Siti Sarah Raissuddin dan Shuib Sepahtu kini mampu menarik nafas lega selepas perniagaan madu, Bee Factory menjana pendapatan mencecah jutaan ringgit.

 Meraih pencapaian selesa dalam usia perniagaan yang masih hijau, Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad menyifatkan, kejayaan itu diraih berkat sokongan isteri tercinta yang menjadi sumber kekuatan.

 Bersyukur perniagaan yang diusahakan semakin stabil, Shuib bagaimanapun, menganggap masih terlalu awal untuk meletakkan dirinya sebagai jutawan kerana dia tidak memiliki wang sebanyak itu.


 "Jika jutawan, saya sudah ada wang berjuta-juta, tetapi saya belum sampai ke tahap itu. Insya-Allah, saya sedang berusaha ke arah itu kerana bukan baru setahun dua berniaga. Sudah enam tahun saya memulakan perniagaan, banyak yang saya lalui. 
 "Ketika memulakan perniagaan, saya rugi teruk apabila produk tidak laku. Sejak itu, saya sering berdoa supaya perniagaan saya berjaya. Doa itu termakbul menerusi isteri apabila rakan kongsi, Nor Asikin Ismail, menghubungi Sarah untuk melantiknya sebagai duta," katanya. 

 Shuib berkata, melihat potensi perniagaan itu untuk terus maju membuatkan dia nekad berhenti kerja sebagai penyampai radio pada Disember lalu selepas sebulan memulakannya.


 "Saya pernah bertanya pakar motivasi, Datuk Dr Fadzilah Kamsah, mengenai perkara itu. Dia tanya, kenapa saya mahu berhenti sedangkan masih perlu mengukuhkan nama? Apabila saya memaklumkan mahu berniaga madu, dia memuji usaha saya. 
 "Sejak itu, saya mendapat semangat luar biasa. Kami bermula kosong, tanpa pejabat, tetapi kini segala-galanya sudah ada. Saya berhasrat menjadikan syarikat ini peneraju industri madu terbesar di Malaysia," katanya yang kini memiliki lebih 20 stokis di seluruh negara. 

 Mengakui berbangga dengan pencapaian suaminya, Sarah berkata, mereka profesional apabila berurusan dalam hal berkaitan perniagaan.

 "Secara jujur, Shuib boleh menggunakan saya untuk menaikkan produknya, tetapi itu tidak berlaku. Dia menghargai saya dan memberikan imbuhan apabila melantik saya sebagai duta. Saya sangat bangga dengan pencapaiannya. 
 "Bukan mahu memuji suami, tetapi melihat caranya bekerja, saya yakin Allah pasti memperkenankan doa dan usahanya. Dia tidak suka duduk diam. Dia pernah memiliki beberapa perniagaan, tetapi tidak terus berjaya. Kami banyak kali mencuba sebelum berjaya," katanya. 

  credit

No comments