#PIALA DUNIA 2018 ~ Janna Nick Terpaksa Sambut Raya Di Moscow

Raya di Moscow, Janna rancang bawa rendang

SETIAP kali tibanya Lebaran, pastinya kita mahu meraikan bersama keluarga tercinta. Namun ada di antara kita tidak dapat berbuat demikian lantaran terikat dengan tugas dan ada juga yang berada jauh di perantauan.

 Begitu jugalah dengan aktres dan penyanyi, Janna Nick yang buat pertama kalinya terpaksa berjauhan dengan keluarga pada hari pertama perayaan Aidilfitri tahun ini.

 Menurut anak kelahiran Sungai Petani ini, sebagai duta telefon pintar jenama Vivo, dia akan terlibat menyaksikan perlawanan pembukaan Piala Dunia FIFA 2018 di Moscow, Rusia.

 Pastinya, berkunjung ke stadium pada perayaan hari raya tidak pernah difikirkan oleh wanita berusia 23 tahun itu, apatah lagi dia seorang yang amat mementingkan hubungan kekeluargaan.
 "Saya akan berangkat ke sana hari ini dan akan pulang pada hari raya keempat nanti. 
 "Tidak dinafikan, memang sedih kerana ini pertama kali saya menyambut Lebaran jauh dari keluarga. Tapi apabila difikirkan semula, peluang seperti ini tidak akan datang berkali-kali. 
 "Malah kalau saya rasa kalau tempat saya boleh diganti, ada beribu orang yang mahu menggantikan saya.
 "Mujurlah saya dapat membawa adik bersama, jadi tidaklah terasa sedih sangat. Malah kami juga merancang untuk memakai baju raya berwarna sky blue nanti. Tapi tak tahu lagilah jadi atau tidak," katanya kepada media ketika ditemui baru-baru ini. 
 Tambah pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner ini, keluarganya juga sudah sedia maklum perkara ini dan dia bersyukur kerana keluarganya memahami dengan komitmen kerja yang perlu didahulukan.
 “Keluarga telah mengetahui tentang perkara itu dan mereka tidak mempunyai masalah sekiranya saya tidak dapat pulang beraya bersama pada tahun ini. 
 “Memandangkan ini merupakan lebaran pertama di perantauan, saya kemungkinan akan membawa sendiri rendang bersama beberapa hidangan lain di sana kelak,” katanya dalam nada berseloroh. 
 Janna berkata, dia juga amat meminati sukan bola sepak dan lebih suka menyaksikan perlawanan di stadium.
 "Kalau tonton perlawanan di stadium, feel dan semangat itu lain macam sikit," katanya yang teruja untuk menyaksikan perlawanan Piala Dunia secara langsung. 
 Beza raya dulu dan kini 

 Dalam pada itu, ditanya mengenai perbezaan menyambut Lebaran sebelum dan selepas menjadi artis, Janna berkata, dahulu, orang akan beratur untuk meminta duit raya daripadanya, namun kini, orang beratur untuk minta bergambar bersama.

 Malah, apabila pulang ke kampung, dia banyak bertemu dengan saudara mara baru yang datang berjumpa.
 "Saya tak kisah bila ada yang minta bergambar. Itu tanda mereka minat dan saya menghargai sokongan mereka pada saya. 
 "Kalau dulu saya perlu bagi duit raya, tapi sekarang orang tak minta duit raya dah, orang minta bergambar je," ujarnya sambil ketawa. 
 Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Janna berkata, selepas sambutan Aidilfitri nanti, dia bakal menjalani penggambaran sebuah drama rantaian berkisarkan tentang anggota badan beruniform.

 Drama yang dihasilkan khas buatnya oleh pengarah Sheila Rusly bertajuk Leftenan Zana itu merupakan naskhah pertama Janna membawakan watak sebagai seorang anggota tentera.
 “Sejak kecil saya seorang yang meminati kerjaya beruniform terutama polis tetapi tidak mempunyai rezeki kerana mempunyai masalah dengan penglihatan iaitu rabun. 
 "Selain itu, saya juga akan merakamkan single ketiga, berkonsep ballet, di mana saya yang menghasilkan lirik dan lagu dibuat oleh Ippo Hafiz," ujarnya.[SH]

No comments