#KENANGAN MENGUSIK JIWA ~ Sahara sayu terkenang pengalaman bersama Najib


Kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14 menyebabkan berakhirnya hayat politik Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri sejak April 2009.

 Beliau kemudian diganti Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketujuh apabila Pakatan Harapan (HARAPAN)memperoleh mandat daripada rakyat yang mahu melihat perubahan berlaku dalam kerajaan dan negara.

 Bagaimanapun, berbanding majoriti rakyat yang menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir dan HARAPAN, penyanyi Sahara Yaacob mempunyai pendirian tersendiri mengenai Najib.

 Kata Sahara, 62, mana mungkin dia melupakan budi baik pernah diberikan Najib sebelum ini.

 Justeru hingga kini dia masih terkenang-kenang waktu berbuka puasa bersama anggota parlimen Pekan itu.
 “Di bawah pimpinan Datuk Seri Najib, beliau banyak membantu. 
 "Dulu saya hidup susah duduk di rumah ibarat stor, tak makan, pakai baju koyak-rabak sampai ditertawakan orang. 
 “Pengalaman paling membuatkan saya terharu selepas itu adalah apabila diundang pada majlis berbuka puasa bagi meraikan anak-anak seni tahun lalu. Saya terasa amat dihargai. 
 “Kini saya sayu mengenangkan pengalaman itu yang mungkin tidak akan dirasai lagi,” katanya kepada Malaysiakini
 BN banyak membantu 

 Kata penyanyi yang pernah diberi julukan Tina Turner Malaysia itu, dia pernah menempuh "zaman perit" sebagai anak seni sewaktu pemerintahan Dr Mahathir.
 “Selama 22 tahun Dr Mahathir memerintah saya tak pernah menerima layanan atau sedekah kepada golongan artis seperti kami, baik kerana sakit mahupun tua. 
 “Masa itu juga, cakap sikit - kena gam, jadi ramai artis tidak bekerja disebabkan radio dan televisyen tidak berani ambil mereka. 
Zaman Dr Mahathir menjadi perdana menteri kerajaan beri tekanan hebat kepada anak seni," katanya.
 Juga melalui pemerhatiannya pada waktu itu, Sahara mendakwa Dr Mahathir tidak pernah memberikan layanan seperti diberikan Najib, malah dakwanya, ada artis diharamkan daripada muncul di TV. 
 Sahara berpendapat untuk membela nasib anak seni seseorang pemimpin harus ada perasaan kasihan dan ambil peduli.


Malangnya, kata Sahara, dia tidak nampak sifat itu ada pada Dr Mahathir.

 Terdahulu, di media sosial penyanyi lagu Peronda Jaket Biru itu mengucapkan terima kasih kerana BN juga banyak berjasa kepadanya.
 “Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Salleh Said Keruak, kakitangan kerajaan BN dan Wanita Umno kerana membantu saya memiliki rumah, menjejakkan kaki ke Mekah, mendapat bantuan kesihatan percuma, zakat, pencen dan bantuan kewangan untuk konsert I Am Back,” katanya. 
 Malaysiakini sebelum ini melaporkan Sahara membawa diri ke Mesir pada 2002 sebelum pulang beberapa tahun kemudian.

Namun nasib yang baik tidak menyebelahinya apabila hidup dalam kemiskinan pada 2007.

 Bagaimanapun, Sahara berkata dia tidak berniat untuk berdendam kepada sesiapa sebaliknya ingin melihat Dr Mahathir memberi perhatian kepada golongan sepertinya.
 “Saya berharap Dr Mahathir membuktikan kerajaan baru boleh membantu. 
Allah bagi peluang kedua untuk beliau menabur budi, buatlah. 
Biar aksi menentukan. Kita sebagai umat Islam bersifat pemaaf,” katanya. 
 Dalam pada itu, menurut Sahara dia tidak kisah seandainya berdepan kecaman kerana meluahkan perasaan yang terpendam yang memihak kepada Najib.

 “Orang nak fikir apa, fikirlah. Itu hak mereka kerana kita ada kebebasan untuk bersuara. Mereka ada hak untuk membenci dan saya ada hak untuk menyukai,” katanya.[mKini]

No comments