#DOA ~ Pelakon Puteri Balqis disahkan menghidap masalah jantung

Puteri Balqis disahkan mengalami masalah jantung selepas keadaan kesihatannya tidak menentu sejak beberapa bulan lalu. 

 KUALA LUMPUR - Pelakon cilik terkenal, Puteri Balqis disahkan mengalami masalah jantung selepas keadaan kesihatannya tidak menentu sejak beberapa bulan lalu.

 Perkara berkenaan disahkan ibunya, Norashikin Mohd. Aziz kepada sebuah portal berita sebentar tadi.

 Norashikin memberitahu, penyakit anaknya itu disahkan doktor selepas menjalani beberapa siri pemeriksaan kesihatan sejak Disember tahun lalu.
 "Tahap kesihatannya mula merudum sejak beberapa bulan lalu apabila cepat letih dan kerap demam sehingga kami sering berulang-alik ke hospital. 
Sehinggalah baru-baru ini doktor mengesahkan dia menghadapi masalah jantung," ujarnya. 
 Bagaimanapun tambah Norashikin, keadaan kesihatan Balqis, 11, kini sudah bertambah baik meskipun masih perlu mendapatkan rawatan di hospital.
 "Syukur, keadaannya menunjukkan perkembangan positif dan sekarang waktu untuk dia mendapatkan rehat yang cukup. 
Sebenarnya dia sudah lama berehat daripada lakonan kerana mahu dia fokus kepada pelajaran," katanya.
 Sebelum ini, keadaan kesihatan pemenang kategori Pelakon Wanita Terbaik Televisyen Asia ke-19 tahun 2014 itu mula merosot selepas kerap muntah dan pengsan.

 Perkembangan tahap kesihatannya dikongsi menerusi akaun Instagramnya @rockingbalqis oleh ibu bapanya, namun mereka tidak berkongsi lanjut tentang penyakit yang dihidapinya. - K! ONLINE

No comments