#FILEM BARU ~ Lakonan Zul Ariffin Berjaya, Tak Hirau Dikritik Tak Berbaju


MENGHITUNG hari menantikan tanggal 12 Oktober untuk menyaksikan filem yang ditunggu-tunggu oleh pembaca novel thriller, Tombiruo: Penunggu Rimba.

 Bagi penulisnya sendiri, Ramlee Awang Murshid dikatakan sangat berpuas hati dengan hasil lakonan yang telah ditunjukkan oleh pelakon utama, Zul Ariffin yang memegang watak sebagai Tombiruo.

 Dia juga menyifatkan watak Ejim itu berada di tahap yang terbaik.

 “Ejim merupakan bintang utama dalam Tombiruo. Namun begitu, dalam filem, Ejim lebih banyak berdiam tanpa dialog serta harus memakai topeng.

 “Saya sendiri merasakan sukar untuk pelakon merealisasikan watak tersebut kerana Ejim harus memberikan lakonan hebat menerusi bahasa tubuh sahaja,” kata Ramlee kepada Astro Gempak.


Ketika ditanyakan mengenai kritikan yang bakal diterima selepas filem ini ditayangkan, Ramlee menjawab dengan tenang dengan jawapannya yang tersendiri.

 “Sukar untuk merealisasikan sebuah novel tebal dalam sebuah naskah filem berdurasi dua jam.

Dalam novel, segalanya boleh diceritakan dengan teliti.

 “Tetapi perkara tersebut mustahil untuk dibawa ke layar perak. Jangan risau kerana semua teras utama penceritaan novel telah dimasukkan dalam filem.

 “Saya berharap peminat setia novel Tombiruo dapat menyokong filem ini kerana saya sendiri terlibat dengan proses produksi filem semenjak awal lagi,” katanya lagi.

 Ramlee ditemui pada Majlis Tayangan Malam Gala Filem Tombiruo, di MBO The Starling, Damansara, Selangor baru-baru ini.

 Namun, bagi Zul sendiri, dia tidak kisah jika tubuh sasanya itu dijadikan ‘umpan’ bagi menarik penonton menyaksikan filem itu di pawagam.

 Selama hampir dua jam durasi filem itu, penonton bakal menyaksikan Zul yang tidak berpakaian.


“Mereka boleh datang menonton filem itu atas sebab apa pun. Dan kalau mereka menonton disebabkan saya tidak berbaju dalam filem itu, i am fine with it,“ katanya kepada Rojak Daily Kaw!

 Walaupun berasa kekok ketika berlakon tanpa baju, dia dikatakan cuba untuk membuang perasaan itu dan menganggap badan sasanya itu sebagai kostum bagi filem ini.

 Sebagai bintang utama filem ini, Zul juga telah bersedia jika dia akan dikritik kerana hal itu.

 “Sebagai pelakon, saya sudah bersedia dari segi mental dengan risiko dikritik kerana tidak berbaju dalam filem itu. Saya tahu, pasti ada anggapan konon saya tayang tubuh sebagai pelaris filem.

 “Biasanya pelakon berbuat demikian untuk beberapa babak saja, tetapi saya pula berpenampilan seperti itu bagi keseluruhan filem.

 “Saya bukan sengaja nak buka baju tetapi sekadar mengikut karakter yang diperlukan untuk watak itu,” tegasnya lagi.

 Anda nampak Zul sangat sado dalam filem ini, namun disebaliknya Zul perlu menurunkan berat badannya supaya bersesuaian dengan watak yang dibawa.

 “Untuk filem ini, masa saya sangat terhad untuk buat persediaan. Memandangkan sebelum itu saya terbabit dengan filem lain yang memerlukan badan saya nampak bulky, jadi untuk filem ini, saya kena turunkan berat badan supaya tak nampak besar sangat.

 “Lagipun, pihak produksi ada lakaran tersendiri mengenai watak Tombiruo dan saya kena ikut seperti apa yang mereka gambarkan supaya nampak logik,”ujarnya.


Bagi melakonkan watak Tombiruo, jejaka berusia 31 tahun ini memerlukan stamina yang tinggi kerana banyak babak lasak dan aksi ditampilkan di dalam filem ini.

 Kerana terlampau komited terhadap filem ini, dia terpaksa berehat selama dua minggu kerana mengalami kecederaan.

Yelah, aksi stunt semua dilakukannya sendiri.

Baru nampak real kan.

 Jelas Zul, ketika dia sedang melakonkan babak aksi melompat, dia dapat merasakan kesakitan pada bahagian lututnya.

Selepas mendapatkan rawatan di hospital, doktor mengesahkan bahawa ligamennya tercedera.


“Dua minggu saya kena berehat daripada shooting akibat kecederaan itu.

Waktu itu memang rasa tak keruan. Sudahlah berlakon kena pakai topeng, kemudian ada pula pelakon lain kena ganti saya.

 “Rasa tak puas bila tak dapat berlakon sendiri untuk beberapa babak penting terutama membabitkan babak saya dengan aktor Faizal Hussein,” luah pemilik nama penuh Zulkifli Ariffin ini.

 Rasanya memang ramai yang dah tak sabar nak saksikan filem yang dinanti-nantikan ini.

Lagi beberapa hari sahaja anda akan dapat menonton filem ini. Barisan pelakon hebat juga menguatkan lagi filem ini arahan Seth Larney dan Nasir Jani ini, yang menampilkan Farid Kamil, Datuk M. Nasir, Nabila Huda, Datin Marlia Musa, Dynas Mokhtar, Hasnul Rahmat dan ramai lagi. – MYNEWSHUB.CC / Ainaa Hafizah

No comments