#ALFATIHAH ~ Pak Jabit Telah Kembali Ke Rahmatullah


JIKA anda pernah menonton filem Hantu Kak Limah, pasti anda akan kenal dengan watak Pak Jabit iaitu Ketua Kampung kepada penduduk Kampung Pisang.

 Kini tiada lagi lakonan dan lawak selamba daripada beliau. Pak Jabit atau nama sebenarnya Man Kadir telah menghembuskan nafas yang terakhir di Klinik Lancang, Temerloh, Pahang pada pukul 7.10 pagi Khamis.

 Pak Jabit merupakan pelakon yang sering menjadi pilihan pengarah Mamat Khalid dalam filem lawak yang diarahkan antaranya ialah Man Laksa, Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Kampung.

 Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh anak arwah sendiri menerusi akaun Facebook miliknya.


Difahamkan bahawa jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Rantau Panjang, Temerloh selepas solat Zohor.

 Kini, kita telah kehilangan ramai penggiat seni veteran yang berbakat.

Pemergian Pak Jabit ini semestinya dirasai oleh kaum keluarga, rakan rapat dan peminatnya sendiri yang sentiasa menantikan lakonan lucu Pak Jabit ini.

 Para peminat dan netizen yang mengenali arwah tidak putus mengucapkan salam takziah kepada keluarga arwah dan mendoakan kemudahan segala urusan arwah disana nanti.

 Maka selepas ini tiada lagilah watak Pak Jabit dalam filem arahan pengarah Mamat Khalid.

 Tiada lagi ketua kampung yang sering membuat lawak selamba dan ibarat penyeri itu sudah hilang.


Bermula dengan telefilem komedi Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel untuk stesen NTV7 pada 1998, arwah pernah juga membintangi filem Jin Pakai Toncit, Husin dan Hantu Kilang Biskut.

 Al-Fatihah dan salam takziah diucapkan kepada waris keluarga arwah. Semoga urusan pengebumian berjalan dengan lancar. – MYNEWSHUB.CC/Ainaa Hafizah

 

No comments