#MASIH ADA YANG SAYANG ~ Sinar baharu Sahara Yaacob setelah 10 tahun

SAHARA kini sudah berpindah ke kediaman lebih selesa di PPR Seri Alam, berdekatan Sungai Besi. - Foto Aziah Azmee 

 TIADA siapa yang mempedulikan nasibnya dulu. Menumpang teduh dalam stor kecil untuk meneruskan sisa hidup, cahaya mula menyinari Sahara Yaacob, 61, apabila BH membongkar kedaifannya pada Ramadan tahun lalu.

 Sejak itu, stor usang yang dulunya tiada siapa sudi menjejaki, mula bertukar suasana.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu sentiasa menerima kedatangan tetamu.

Senyuman kembali terukir di bibirnya apabila teman industri yang sudah lama terputus hubungan mula bertanya khabar.


Mengenangkan kisah hidupnya yang penuh onak duri, Sahara menjadi sebak. Bertahun-tahun lamanya dirinya terpinggir dan tersisih, hanya anak saudara serta keluarga yang tinggal berhampiran sering mengambil berat.

 Syawal lalu, genap setahun kesengsaraan hidupnya didedahkan. Kehidupan silam Sahara atau nama sebenarnya, Zaharah Mohd Yaacob yang dulu kelam sudah jauh ditinggalkan.

 "Setahun ini, terlalu banyak perubahan besar yang berlaku dalam hidup. Alhamdulillah, penderitaan saya akhirnya mendapat pembelaan.

Saya juga sudah berpindah ke kediaman lebih selesa di Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam, berdekatan Sungai Besi.


"Tidak sesekali saya menduga, saya kembali mendapat kepercayaan dengan pelbagai undangan persembahan.

Pada awalnya, saya terpaksa menolak kerana kurang yakin boleh menyanyi lagi. Sudah lama tidak menyanyi, saya perlu melakukan persediaan terlebih dulu.

 "Syukur kerana hidup saya tidak lagi daif dulu. Walaupun kehidupan hari ini tidak semewah seperti ketika saya muda, saya tetap bersyukur.

Allah masih bersama ketika saya susah dan senang," katanya. Penyanyi yang terkenal dengan imej berani ini berkata, Aidilfitri lalu kembali bercahaya apabila dirinya tidak lagi terpinggir.

 "Sebelum ini, saya menyambut Aidilfitri bersendirian di dalam stor. Jika sunyi, saya ke rumah anak saudara yang tinggal berhampiran.

Terubat juga hati apabila bersama anak saudara dan keluarga. Jarang ada tetamu yang mahu menjenguk saya.

 "Saya faham kerana tempat tinggal saya dulu sempit dan tidak selesa. Lagipun, saya tidak berkemampuan melakukan persiapan raya.

Berbeza situasi raya tahun ini, saya meraikan Aidilfitri bersama sanak saudara dan teman-teman," katanya yang menerima kunjungan teman baiknya iaitu komposer, Rex dan penyanyi serta penulis lirik, Queen She ketika temuramah dibuat.

 Balas budi anak saudara


Terlalu banyak ranjau ditempuhi, Sahara yang pernah digelar Tina Turner Malaysia tidak lupa pengorbanan anak saudaranya yang banyak membantu ketika dirinya susah.

 "Apabila bernafas sedikit, saya mahu membalas jasa mereka. Tidak banyak, sedikitpun memadai," katanya yang tidak malu mengakui sudah lebih 10 tahun tidak membeli baju raya baharu.

 Seperti selalu, setiap kali mendengar takbir raya, hatinya sayu mengenangkan arwah ibunya yang meninggal dunia beberapa tahun lalu.

 "Sebelum arwah meninggal dunia, saya tidak terasa sangat walaupun Syawal diraikan dalam serba kekurangan.

Arwah ibu menjadi penawar hati. Tetapi apabila arwah meninggal dunia dan suami pula meninggalkan saya, segala-galanya sudah tidak lagi bermakna.

 "Ketika arwah masih sihat, suasana pada malam raya begitu meriah.

Sibuk sekalipun, saya tetap akan pulang ke rumah ibu pada malam raya. Kami akan berkumpul beramai-ramai dan membantu ibu memasak.

 "Dulu, saya mengutamakan arwah dalam segala hal. Arwah juga suka berkongsi rezeki dengan anak-anak lain.

Tetapi, semua itu sudah tidak lama sejak arwah menghembuskan nafas terakhir," katanya yang gemar menyediakan kuih kemboja pada hari raya.

SAHARA Yaacob atau nama sebenarnya, Zaharah Mohd Yaacob. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam Info

 Kronologi perubahan hidup Sahara Yaacob 

 3 Julai 2016: BH membuat pendedahan eksklusif mengenai Sahara yang hidup dalam kesempitan. Beliau ditemui tinggal bersendirian dalam stor di belakang kediaman arwah kakaknya di Hulu Langat, Selangor.

 4 Julai 2016: Sahara dilaporkan mula menerima tawaran daripada beberapa promoter untuk persembahan.  
5 Julai 2016: Sebaik berita mengenai Sahara disiarkan di BH, sebuah persatuan memaklumkan mahu mendapatkan rumah sementara di bawah kelolaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

 13 Julai 2016: Berdasarkan panggilan wakil BH kepada Pengarah Perumahan DBKL, mereka menyatakan belum menerima sebarang surat atau permohonan daripada mana-mana pihak. Namun, pihak berkenaan sedia mempertimbangkan situasi Sahara untuk menyewa di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR).

 14 Julai 2016: Sahara mendapat pembelaan pihak berwajib apabila dikunjungi pegawai DBKL dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di stor usang dihuninya di Kampung Melaka, Hulu Langat.

 1 Ogos 2016: Sahara diberikan sebuah unit sewaan pada kadar RM124 sebulan. Sebagai pendahuluan, Sahara perlu menjelaskan sewa bulan pertama bersama cagaran sewa untuk dua bulan, cagaran bekalan air serta dokumen perjanjian sebanyak RM464.70.

 4 Ogos 2016: Jaringan Melayu Malaysia (JMM) membuat kenyataan mahu membantu Sahara merealisasikan impian mengadakan konsert solo.

 11 Ogos 2016: Selepas lebih 10 tahun menghuni stor dan mengasingkan diri daripada dunia hiburan, Sahara berpindah ke kediaman lebih selesa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam, dekat Sungai Besi.[BH Online]

No comments