#GEMENTAR ~ Elizabeth Tan Bimbang Bertentang Mata Aaron Aziz

Elizabeth mengakui gementar untuk berhadapan dengan Aaron Aziz. 

 PENYANYI Elizabeth Tan gementar untuk bertentang mata dengan aktor Aaron Aziz?

Haih! Dah kenapa nak ditenung mata suami orang tu?

 Jangan salah faham tau, Elizabeth atau mesra dengan sapaan Lizzy sebenarnya sedang berlakon bersama pelakon berasal dari Singapura itu menerusi drama bersiri My Darling Inspektor Daniel terbitan Skop Productions.

 Kata Lizzy, sebagai pendatang baharu dalam bidang lakonan dia berasa rendah diri dapat digandingkan dengan Aaron yang jauh lebih berpengalaman.

 "Dalam banyak-banyak perkara yang saya bimbang ketika masuk ke set adalah untuk bertemu dengan Aaron Aziz kerana saya rasa seperti tidak layak untuk berlakon dengannya kerana masih baru.

 "Tetapi pada masa sama saya berasa seronok kerana bukan semua orang dapat bergandingan dengan Aaron dan berharap penggambaran akan berjalan lancar," katanya.

Lizzy mahu fokus kepada lakonan. 

 Bercerita lanjut mengenai drama itu, Lizzy berkata, dia pada awalnya terkejut apabila pihak produksi menawarkan watak utama iaitu Maya Adriana kepadanya kerana dia tidak mempunyai pengalaman luas dalam lakonan.

 Pun begitu kata penyanyi berusia 24 tahun ini, dia menerima tawaran itu kerana minat mendalam terhadap lakonan selain menyifatkan ia peluang keemasannya dalam mencipta nama sebagai pelakon.

 "Sejak dulu saya memang suka berlakon dan ini adalah permulaan untuk saya mengembangkan bakat saya ke tahap yang lebih tinggi.

 "Harap-harap drama ini nanti akan menjadi fenomena seperti beberapa drama bersiri lain sebelum ini dan membuka peluang lain untuk saya," katanya.

Aaron Aziz. 

 Drama arahan Aziz M. Osman itu turut menampilkan pelakon seperti Siti Elizad, Erra Fazira dan Dazrin Kamarudin.

 Sementara itu, Lizzy berkata, tahun ini dia akan memberikan tumpuan kepada lakonan malah dia sudah pun mendapat beberapa tawaran lain.

 Kata Lizzy, dia bakal terlibat dalam sebuah filem pada pertengahan Oktober depan namun tidak boleh mendedakan butiran mengenainya buat masa ini.

 "Saya masih aktif menyanyi tetapi buat sementara ini saya ingin memberi fokus kepada lakonan buat seketika.

 "Biarlah saya terokai bidang ini terlebih dahulu namun saya ada juga bercadang menghasilkan single baru untuk dijadikan lagu tema My Darling Inspektor Daniel," jelasnya.[mStar]

No comments