#TAHNIAH ~ Dazrin Kamarudin Sah Suami Ketua Pramugari Syarikat Saudi



Pelakon kacak, Dazrin Kamarudin selamat diijabkabulkan dalam majlis akad nikah yang diadakan dengan gadis pilihannya, Nur Fazulin Razali di Hotel Avilion Legacy di sini Sabtu.

 Dengan sekali lafaz, bekas juara Fear Factor Malaysia musim satu itu sah menjadi suami kepada gadis berasal dari Cheras, Kuala Lumpur yang juga ketua pramugari sebuah syarikat penerbangan berpusat di Jeddah, Arab Saudi.

 Pasangan mempelai itu dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Razali Din dengan mas kahwin RM500 dengan wang hantaran yang dirahsiakan jumlahnya pada majlis yang berlangsung kira-kira pukul 12 tengah hari.

 Menurut laporan media tempatan pada awal bulan lalu, Dazrin, 29, mula mengenali Nur Fazulin, 33, ketika mereka secara kebetulan berkomunikasi jarak jauh menerusi aplikasi ajuk nyanyian, Smule kira-kira dua tahun lepas.



Kedua-dua pengantin tersebut ceria memakai persalinan warna Rose Golden dengan hantaran sebanyak tujuh dulang bagi pihak pengantin perempuan dan berbalas sembilan dulang oleh keluarga pengantin lelaki.

Majlis pernikahan pasangan berkenaan turut meriah apabila disaksikan oleh kira-kira 200 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga masing-masing dan sahabat terdekat kedua-dua mempelai selain rakan artis tersebut.

 Terdahulu, Dazrin pernah mengikat tali pertunangan dengan aktres, Amyra Rosly pada 25 Ogos 2013, namun terpaksa membatalkan hasrat berkahwin yang sepatutnya 8 Ogos 2014. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments