#UPGRED ~ Aim Crossfire buka studio rakaman sendiri

Aim kini sibuk dengan kerja rakaman lagu untuk beberapa artis baharu dan artis tempatan yang mendapatkan khidmatnya. 

JIKA sekarang ini sebut sahaja nama Crossfire, masih ada yang terngiang-ngiang di ingatan mereka irama muzik rock yang dibawa kumpulan dianggotai lima pemuzik dari Muar dan Batu Pahat ini.

 Dianggotai Aim@Abdul Halim Husin (penyanyi), Assu@Abu Bakar Othman (gitar utama), Yus@Yusri Razali (gitar kedua), Yas@Mohd Alias Harun (bass) dan Fiq@Syed Taufiq Syed Saleh (dram), kumpulan yang tegar memperjuangkan rentak ‘heavy rock’ dan ‘trash metal’ ini mula meniti di bibir peminat setelah lahirnya album pertama berjudul ‘Fatamorgana’ sekitar 1989.

Menurut Aim, 49, walaupun Crossfire tidak lagi aktif, mereka tidak pernah membubarkan kumpulan berkenaan, sebaliknya masing-masing sibuk dengan kerjaya sendiri termasuklah dirinya yang kini bekerja di belakang tabir.

 “Hidup kami memang untuk jadi penghibur, mana boleh kami tinggalkan industri hiburan ini yang pernah bawa nama kami di puncak kegemilangan.

 “Walaupun tak aktif lagi menyanyi, rasa cinta terhadap muzik tetap ada dan sebab itulah kami buka studio rakaman sendiri untuk manamana artis merakamkan lagu.

 “Kami sebenarnya ada dua studio rakaman iaitu di Parit Besar Batu Pahat dan Pandan Indah, Kuala Lumpur menggunakan nama Quantize Studio and Production yang mula beroperasi pada 2000,” katanya kepada Sinar Harian.

 Aim berkata, walaupun sekarang heavy rock dan trash metal kurang didengari anak muda, dia tetap memperjuangkan irama berkenaan.

 Katanya, dia turut mencipta beberapa lagu baharu untuk kumpulan muzik tertentu seperti Bloodbrothers dan Kashmir Stone (kumpulan rock India).

 “Dalam masa sama saya juga menggubah lagu tradisional dan lagu nasyid untuk kumpulan muzik tempatan, termasuklah lagu Kampung Separap yang didendangkan ketika pertandingan Anugerah Desa Cemerlang peringkat kebangsaan," katanya.

 Bantu artis baharu 

 Pernah merasai kesusahan dan keperitan menjadi artis rakaman telah membuka hatinya untuk membantu artis baharu mencapai citacita mereka.

Aim berkata, dia membuka studio di Batu Pahat untuk membantu rakan-rakan di sini merakam lagu kerana jika dibuat di Kuala Lumpur kosnya agak tinggi.

 “Saya nak bantu artis baru terutamanya yang mempunyai modal terhad untuk rakamkan lagu. Biar mereka mampu capai cita-cita, walaupun mempunyai satu ‘single’ lagu sekurang-kurangnya dapat hiburkan peminat

 “Studio saya di Parit Besar Batu Pahat ini tidak terhad untuk rakaman sahaja, mereka yang kaki karaoke dan inginkan privacy inilah tempatnya. 

Ia dibuka kepada sesiapa sahaja dengan harga berpatutan,” katanya. 

Anak didik kagum semangat Aim 

 Semangat dan kecekalan Aim cukup dikagumi anak didiknya yang turut membantunya di studio bagi merakam lagu baharu yang digubah penyanyi rock berkenaan.

 Azrul Fahmi, 19, yang sudah menjadi anak angkatnya, sememangnya mahu menjadi seperti Aim yang tidak mudah berputus asa dan cukup kental memperjuangkan apa diminatinya.

 Katanya, dia mula menyertai kumpulan studio rakaman penyanyi itu tahun lalu ketika menjalani latihan praktikal.

Ketika itu dia adalah pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Batu Pahat.

 “Selain bantu ayah (gelaran diberikan kepada Aim) rakam lagu, saya turut buat rakaman untuk projek khas pelajar di KPTM dan juga Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM).

 “Mereka akan buat pelbagai jenis iklan, promo dan sebagainya di sini, selain rakam lagu dengan mendapat tunjuk ajar daripada ayah.

 “Apa yang saya kagum dengan ayah ialah minatnya terhadap muzik terutamanya muzik rock tidak pernah hilang.

Sampaikan ada sesetengah orang gelar dia sebagai ‘ustaz rock’ kerana penampilannya sekarang sudah berbeza,” katanya.[SH]

No comments