#TAHNIAH ~ Sharnaaz selamat akhiri zaman bujang

AKTOR, Sharnaaz selamat bergelar suami kepada Nabila, hanya dengan sekali lafaz, jam 9.15 malam tadi.

 Nabila atau nama sebenarnya Noor Nabila Mohd Noor, 33, menerima mas kahwin RM1,000.

 Lebih manis, pasangan ini dinikahkan oleh Imam Masjid Damansara Perdana, Ustaz Haji Syamsul Firdaus Mohd Supri Al-Hafiz dan disahkan oleh Imam Masjid Al-Makmuriah, selaku jurunikah bertauliah Jabatan Agama Islam Selangor.

 Dalam majlis yang diadakan di Hotel Royal Chulan Damansara Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 32, memberi lima dulang kepada Nabila dan dibalas tujuh dulang oleh pihak perempuan.

 Pada upacara majlis pernikahan berkenaan, kelihatan pengantin lelaki segak berbaju Melayu serba putih hasil rekaan Putra Cosry.

 Manakala pengantin perempuan tampak berseri dengan busana rekaan Datuk Radzwan Radzwil.

 Sementara itu, majlis resepsi pasangan ini akan diadakan pada 2 April di Royal Chulan Damansara, Kuala Lumpur dan di sebelah keluarga pihak lelaki akan diadakan pada 8 April di kampung halaman pengantin lelaki di Straits Quay Convention Centre, Pulau Pinang.

 Terdahulu ini majlis merisik diadakan di kediaman wanita tersebut di sini pada 18 Disember 2016.

 Ini merupakan perkahwinan pertama buat Sharnaaz Ahmad dan kedua buat Noor Nabila.

 Untuk rekod, terdahulu, Nabila pernah mendirikan rumah tangga pada Julai 2013, namun berpisah pada 2014.[SH]

No comments