#CARI REZEKI ~ ‘Dah lama saya bawa teksi’ - Amy XPDC

Amy bangga dengan pekerjaannya sebagai pemandu teksi. 

BUKAN sesuatu yang mengejutkan melihat kelibat pemain dram kumpulan XPDC memandu teksi di sekitar Benut dan Pontian.

 Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abu Bakar, 54, berkata, dia menjadi pemandu teksi selepas jemputan persembahan semakin kurang.

 “Bila persembahan makin kurang kena bijak cari pekerjaan lain. Kehidupan perlu diteruskan dengan bekerja sendiri.

 “Kebetulan saya ada lesen teksi dan GDL (lori), jadi saya ambil keputusan bawa teksi,” katanya.

 Mengakui kehidupan yang dilalui di Kuala Lumpur terlalu mencabar kerana segalanya memerlukan wang, dia nekad memandu teksi di ibu kota sekitar tahun 2000.

 “Selepas berehat selama dua tahun akibat tragedi kemalangan yang berlaku pada 1998, saya tidak menoleh ke belakang sebaliknya terus ambil keputusan bawa teksi.

 “Memang agak sukar ketika itu, tetapi saya sedar kehidupan perlu diteruskan demi keluarga dan enam anak saya,” katanya.

 Balik kampung jaga ayah 

Demi tanggungjawab sebagai anak tunggal, Amy sedar dia adalah satu-satu harapan untuk menjaga ayahnya, Abu Bakar Kasim, 89, selepas pemergian ibu tercinta, Aminah Mohd, 75.

 “Selepas ibu meninggal akibat angin ahmar, saya ambil keputusan pindah dan terus tinggal di kampung iaitu di Sanglang Benut untuk jaga ayah,” katanya. 

Menurut Amy, pada mulanya dia agak janggal dan terpinga-pinga mencari pekerjaan baharu di Benut.

 Bagaimanapun, pengalaman memandu teksi di Kuala Lumpur tidak disia-siakan dan meneruskan pekerjaan itu di Benut.

 “Ramai yang bertanya kenapa saya bawa teksi di Benut, mudah sahaja sebab saya mahu kerja sendiri yang dapat memudahkan saya menguruskan masa.

 “Saya tidak malu mengaku sebagai pemandu teksi kerana pekerjaan ini halal. Apa yang penting saya berusaha sendiri mencari rezeki selagi masih bernyawa,” katanya.

 Jelasnya, dia juga memandu van kilang sejak setahun lalu demi mencari pendapatan tambahan untuk menyara keluarga.

 Terharu sokongan peminat 

Mengakui berdepan pelbagai detik manis sepanjang membawa teksi, Amy lebih bersemangat untuk meneruskan pekerjaannya itu.

 “Ada yang mahu ambil gambar dengan saya, tak kurang juga yang bertanya kenapa saya bawa teksi.

 “Saya cuma jawab dengan senyuman dan terangkan kepada mereka yang saya buat kerja halal untuk sara keluarga,” katanya.

 Namun dalam masa sama, Amy terharu dengan sokongan diberikan peminat XPDC yang masih mengenalinya.

 “Bukan setakat otai-otai sahaja kenal saya dan XPDC, tapi budak muda juga kenal saya.

 “Malah mereka turut nyanyikan lagu-lagu kumpulan XPDC seperti Cinta, Semangat Yang Hilang, Titian Perjalanan, Kita Peng Yu dan macam-macam lagi.

 “Memang tak sangka betul, peminat XPDC sepanjang zaman walaupun kini jemputan persembahan XPDC sangat kurang,” katanya.

 Tidak merajuk dengan industri 

 Bagi Amy, tiada istilah merajuk dalam industri seni walaupun mereka kurang mendapat perhatian.

 “Semangat bersama XPDC tidak pernah padam. Saya masih bersama XPDC. Kami masih dijemput buat persembahan.

 “Persembahan agak kurang jika ada pun kami dijemput ke karnival-karnival.

 Dalam sebulan mungkin adalah dua kali,” katanya.

 Amy berkata, XPDC bermula dengan persembahan di tapak pesta funfair sehingga pernah digelar sebagai raja funfair.

 “Walaupun pengalaman di funfair sudah berlalu 25 tahun lepas, tetapi ia masih diingati ahli kumpulan XPDC dan peminat.

 “Sehingga kini XPDC masih bersama empat tunggak utama kumpulan iaitu Mail (penyanyi), Zuar Apache (basis), Jeff (gitaris) dan saya (dram),” katanya.

 Mengakhiri perbualan, Amy memberitahu XPDC kini dalam proses pembikinan single baharu.[SH]

No comments