#TOP ~ Lagu Ayda Jebat Jadi Perhatian Di Indonesia

Ayda Jebat bangga dengan pencapaian lagunya di Indonesia. FOTO: IBRAHIM MOKHTAR 

 Penyanyi Ayda Jebat memberitahu lagu nyanyiannya berjudul Pencuri Hati versi dangdut yang dilancarkan di Indonesia bulan lalu sudah menduduki carta di empat stesen radio negara itu.

 Ayda, 24, berkata, dia gembira karya itu menerima respons positif selepas pihaknya menjalankan promosi di Jakarta dan Bandung pada Februari lalu.

 "Alhamdulillah, saya dapat maklum balas positif apabila lagu Pencuri Hati sudah dimainkan dan masuk carta empat stesen radio Indonesia.

 "Selain itu, ramai peminat Indonesia yang menulis komen positif di Instagram dan video muzik lagu tersebut selepas saya membuat rangka promosi beberapa hari di sana," ujarnya kepada mStar Online.

 Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat ditemui pada majlis pelancaran drama mini 3 Gadis Manis di Pavilion, pada Rabu.

 Muzik video Pencuri Hati versi dangdut yang dimuat naik pada 1 Desember lalu kini memcecah lebih 3 juta tontonan di YouTube.

 Dalam pada itu, Ayda berkata, dia juga dalam perancangan untuk kembali melanjutkan promosi lagu itu di beberapa lokasi lain di negara berkenaan.

Pelakon drama 3 Gadis Manis dari kiri Cristina Suzanne, Mira Filzah dan Ayda Jebat. FOTO: IBRAHIM MOKHTAR 

Kelab peminatnya di negara itu juga sudah ditubuhkan dan kini berjalan aktif dalam menyokong kerjaya seninya.

 "Insya-Allah, saya lihat perkembangan semakin baik dan sekarang saya sudah ada kelab peminat di Indonesia.

 "Pihak pengurusan ada perancangan untuk menjalankan promosi di beberapa tempat lagi seperti Jogyakarta dan Surabaya," ujarnya.

 Dalam pada itu, bercerita tentang drama mini 3 Gadis Manis, Ayda berkata, dia hanya menjalani penggambaran selama tiga hari sahaja.

 Katanya, dia menerima tawaran tersebut sebagai menyokong pihak produksi menerbitkan drama pertama menerusi platform digital.

 "Saya menyokong pihak Astro dan produksi kerana ini merupakan pertama kali mereka menerbitkan drama digital.

 "Penggambaran dilakukan selama tiga hari dan ia juga drama yang santai sesuai untuk ditonton untuk pengguna yang gemar menonton menerusi Internet," ujarnya.

 Drama enam episod lakonan Mira Filza, Cristina Suzanne, Dottie dan Alvin Chong ini boleh ditonton menerusi www.3gadismanis.com.my bermula 8 Mac 2017.[mStar]

No comments