#PENGHARGAAN ~ Judika Nyanyi Lagu Ciptaan Peminat

Judika berasa gembira dapat menyanyikan lagu ciptaan peminat. FOTO: ARIFFUDDIN ISHAK 

 Hasrat untuk merealisasikan impian peminat mengembangkan bakat dalam bidang seni akhirnya tercapai apabila bintang terkenal Indonesia, Judika bakal tampil dengan sebuah album baharu hasil ciptaan pencipta lagu amatur.

 Menerusi album yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi, penyanyi yang popular dengan lagu Aku Yang Tersakiti ini merakamkan lima lagu ciptaan peminat hasil daripada Judika Project yang diilhamkan untuk mencari bakat baharu.

 “Selama ini peminat saya mempunyai angan-angan untuk berjaya, jadi saya cuba bantu.

 “Menyanyikan lagu ciptaan mereka untuk dimuatkan dalam album adalah cara terbaik, sekurang-kurangnya saya menjadi jalan untuk mereka selangkah mencapai mimpi-mimpi,” katanya kepada mStar Online.

 Judika, 38, ditemui pada sesi pendengaran eksklusif album berkenaan di Menara Kuala Lumpur di sini, Khamis.

 Judika juga dijadual akan mengadakan persembahan ‘Malam Sensasi Bersama Judika’ di IOI Putrajaya pada malam ini (Jumaat).

 Bercerita lanjut mengenai album berkenaan, Judika atau nama sebenarnya Judika Nalon Abadi Sihotan berkata dia mengambil masa selama lapan bulan untuk menyiapkannya.


“Proses pembikinan sebenarnya tak begitu lama tapi preses pencarian lagu adalah panjang.

Untuk mencari lima lagu ini, saya ambil masa lebih daripada empat bulan.

 "Saya menerima 400 penyertaan daripada peminat yang mahu saya nyanyikan lagu mereka,” katanya.

 Antara lagu ciptaan peminatnya yang diperdengarkan buat pertama kali itu ialah Jikalau Kau Cinta, Ku Cintamu Sang Penipu, Sang Juara serta Jadi Aku Sebentar Sahaja.

 Judika sendiri turut mencipta sebuah lagu dalam album berkenaan berjudul I Love You.

 Ditanya mengapa dia memilih Malaysia sebagai destinasi pertama untuk memperdengarkan kesemua lagu daripada album baharu itu, Judika berkata peminat Malaysia banyak menyokong perkembangan kerjaya seninya selama ini.

 “Salah satu negara yang paling ramai peminat Judika di Asia ialah Malaysia. Mereka sentiasa sokong karier saya.

 “Jadi apabila ada peluang sebegini, aku memilih Malaysia. Kebetulan juga saya punya karya baharu untuk diberikan kepada mereka,” katanya.

 Pada persembahan itu nanti Judika akan menyanyikan lagu-lagu popular yang berjaya menaikkan namanya termasuk lagu daripada album baharu.

 “Pada mulanya saya ditawarkan untuk menyanyi secara minus one, tapi saya merasakan untuk beri lebih daripada itu kepada peminat.

 “Jadi saya ambil keputusan untuk bawa band dari Indonesia. Kami akan persembahkan lagu-lagu yang menaikkan nama saya.

Showcase ini akan mencerikan perjalanan seni dari awal hingga kini,” katanya.[mStar]

No comments