#PENGALAMAN ~ Lana Nodin Jelajah 30 Negara Kerana Suami

Lana Nodin memberitahu sudah melancong ke 30 buah negara kerana mengikut suaminya yang menyertai pertandingan bola tampar. Foto SHAARI CHE MAT   

Pelakon Lana Nodin memberitahu sejak berkahwin dia sudah menjelajah ke 30 buah negara kerana mengikuti suaminya, Mohd Daud McKienzie yang juga atlet sukan bola tampar.

 Lana berkata, dia jarang menetap di sesuatu tempat untuk tempoh yang lama kerana suaminya sering menyertai pertandingan dan mahu mereka sekeluarga sentiasa bersamanya.

 "Kalau diikutkan sudah 30 buah negara saya lawati semuanya kerana mengikut suami yang ada pertandingan.

 "Suami memang mahu saya dan anak ikut kerana tidak mahu kami berjauhan dan ia juga sebagai tanda sokongan saya terhadapnya.

 "Sambil ikut suami dapat juga saya melawat negara orang malah ada di antara negara tersebut tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk pergi," katanya.

Pasangan ini semakin bahagia dengan kehadiran anak perempuan iaitu Gia Quinn Mckienzie. 

 Bagaimanapun kata Lana, walaupun seronok dapat melawat negara orang namun mengakui ia memenatkan kerana banyak menghabiskan masa di lapangan terbang dan pesawat.

 Tambah Lana lagi, sebagai ibu kepada Gia Quinn Mckienzie juga dia perlu memastikan semua keperluan anaknya itu terjaga dan diutamakan apabila berjalan jauh.

 "Ada anak kecil ni susah juga hendak melancong kerana kita perlu utamakan keperluannya tetapi ia pengalaman yang tiada nilainya walaupun penat.

 "Nasib baik juga Gia jenis tak banyak ragam dan senang membawanya berjalan jauh," katanya.

 Sementara itu, Lana berkata, walaupun sudah lama tidak berlakon namun dia gembira dengan kehidupannya sebagai isteri dan ibu.

Lana dan David berkahwin pada 15 Mei 2015. 

 Bagaimanapun dia ada merancang untuk kembali aktif dalam lakonan selepas anaknya menganjak usia dua tahun.

 "Rindu memang rindu tetapi saya susah hendak tinggalkan Gia kerana dia tidak mahu dengan orang lain.

 "Tambahan pula dia memang menyusu badan jadi lebih menyukarkan saya untuk kembali berlakon.

 "Tunggu dia besar sedikit, Insya-Allah saya akan kembali aktif kerana memang rindu hendak masuk lokasi," katanya.

 Lana atau Mazlina Hasan Nodin dan Mohd Daud yang juga rakyat Amerika Syarikat berkahwin pada 15 Mei 2015.[mStar]

No comments