#PENAMPILAN SEMULA ~ Yasmin Hani kembali aktif

SELEPAS lebih dua bulan berehat kerana melahirkan anak keduanya Disember lalu, Yasmin Hani sudah bersedia untuk kembali aktif bekerja. 

 SEJAK melahirkan bayi keduanya, Eissa Elzander Wong pada 27 Disember tahun lalu, pelakon dan pengacara Yasmin Hani sudah bersedia untuk kembali bergiat aktif dengan karier seni.

 Berkongsi perkembangan terkini, Yasmin atau nama lengkapnya Yasmin Hani Richardson, 38, berkata, andai rezeki berpihak kepadanya, dia akan muncul dalam sebuah filem dan program sendiri tidak lama lagi.

 Pelakon filem Cicak Man itu bagaimanapun enggan berkongsi lanjut mengenai projek tersebut memandangkan masih belum ada hitam putih daripada penerbit.

 Berbicara tentang pengalaman dan kehidupan terkini setelah mempunyai dua cahaya mata, Yasmin bersyukur kerana semuanya dipermudahkan.

 “Selepas habis tempoh berpantang, saya jadi kembali yakin untuk bekerja.

Saya tidak mahu terlalu teruja bercakap soal tawaran filem dan sebuah program sendiri yang diterima sebab ia masih dalam perbincangan tetapi saya sudah selesai menjalani proses uji bakat untuk kedua-dua buah projek ini.

 “Insya-Allah, jika ada rezeki, maka ia akan menjadi projek besar saya bagi tahun ini,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

 Ditanya tentang kesediaannya kembali aktif selepas bersalin, bekas pengacara program Era@Ria itu berkata, tidak timbul halangan untuknya keluar bekerja meskipun bayi keduanya baru menjangkau usia dua bulan.

 “Sejak anak sulung Noah lahir lagi saya sudah ada pengasuh, jadi tiada masalah sekiranya saya keluar bekerja kerana akan ada orang untuk menjaga mereka.

 “Lagipun, bergelar ibu pada zaman moden sangat menyenangkan kerana kita sudah boleh menyimpan stok susu badan untuk beberapa hari.

Malah, keluarga saya juga tiada masalah untuk menjaga Eissa kerana mereka memang sukakan budak-budak,” katanya.

YASMIN dan suami tidak menghalang andai anak-anaknya, Noah dan Eissa menunjukkan minat ke arah bidang seni suatu hari nanti. 

 Menyentuh trend masa kini membabitkan anak selebriti yang sering diberi tawaran bergelar duta produk sejak kecil, ini jawapan diberikan Hani mengenai anak-anaknya:

 “Kalau itu rezeki, untuk apa ditolak? Orang kata, tidak baik menolak perkara baik yang datang sebab ia untuk kesenangan mereka juga pada masa depan.

 “Kalau ada ibu bapa yang tidak mahu membebankan anak-anak dengan komitmen kerana masih terlalu kecil, itu hak masing-masing. Secara peribadinya, saya tidak kisah sebab saya tahu ruang dan peluang kanak-kanak yang terlibat dengan dunia komersial.

 “Kalau anak sedang tidur atau mahu susu, selalunya kru produksi memahami situasi itu dan akan memberi ruang kepada kami untuk berehat,” ceritanya.

 Anak sulungnya, Noah Ismail Wong juga tidak terkecuali.

Sejak lahir, Noah sudah ditawarkan menjadi duta bagi beberapa produk kanak-kanak.

 “Alhamdulillah, kontrak itu terus bersambung dan melekat juga rezeki kepada adiknya.

Saya dan suami tidak meletakkan sebarang halangan untuk menerima tawaran sebegini asalkan ia tidak membebankan, itu sudah cukup memadai,” ujarnya ceria.[Kosmo]

No comments