#HOT ~ Anak Michael Jackson Jadi Model Fesyen

Paris Jackson kini mengikat kontrak bersama agensi model terkenal IMG Models. 

 ANAK kepada penyanyi terkenal Michael Jackson iaitu Paris Jackson kini bergelar model apabila dia mengikat kontrak bersama agensi IMG Models.

 E Online melaporkan perkara itu disahkan sendiri oleh agensi berkenaan sebelum Paris turut mengumumkan berita gembira itu menerusi Instagram.

 "Terima kasih IMG Models dan saya berasa bersyukur dan dirahmati," tulis anak kedua legenda pop itu.

 IMG Models adalah sebuah syarikat pengurusan yang turut menguruskan karier peragaan untuk model terkenal seperti Gisele Bundchen, Gigi Hadid, Bella Hadid, Alessandra Ambrosio, Candice Swanepoel, Nina Agdal dan Kaia Gerber.

 Paris, 18, baru-baru ini turut muncul sebagai penghias muka depan majalah Rolling Stone sebagai projek pertamanya bersama IMG Models.

 Malah Paris turut membuat kemunculan di acara karpet merah Anugerah Grammy selain beberapa acara fesyen.

 Sebelum ini ramai menyarankan agar Paris menjadi seorang model kerana dia mempunyai rupa paras dan mata berwarna biru yang cantik.

 Sebelum kematian Michael pada 2009, muka Paris dan dua adik-beradiknya yang lain jarang dapat dilihat kerana penyanyi itu akan menutup muka anak-anaknya dengan kain bagi mengelak paparazi merakam wajah mereka.

 Paris dalam satu temubual bersama Oprah Winfrey sebelum ini memberitahu dia memahami mengapa bapanya berbuat demikian kerana ingin melindungi mereka.[mStar]

No comments