Saturday, March 4, 2017

#HEBAT ~ Luke Evans, antagonis Beauty and the Beast

Buat pengikut setia naskhah klasik Beauty and the Beast yang pernah mencorakkan imaginasi seorang wanita cantik dengan haiwan jadian buat penonton pada tahun 1991 dalam versi animasi, tahun 2017 akan menyaksikan fenomena baharu terhadap karya tersebut terjadi.

Masakan tidak, filem tersebut bakal menjenguk pawagam dalam bentuk realiti atau live-action bermula 16 Mac ini di pawagam.

 Apa yang menarik, peminat pasti tertunggu-tunggu untuk merasai kehebatan filem muzikal fantasi romantik ini kerana karakter Belle dilakonkan oleh heroin jelita kesayangan ramai, Emma Watson.

Dipasangkan dengan Dan Stevens yang menjelma sebagai Putera Adam atau beast, aktor kacak Luke Evans menyahut tanggungjawab sebagai si angkuh, Gaston.

 Berpeluang menemubual Evans melalui satu panggilan telefon yang diatur Walt Disney Malaysia baru-baru ini, aktor kelahiran Wales, United Kingdom (UK) itu berkongsi keterujaan berlakon dalam filem arahan sutradara terkemuka Bill Condon.

DONGENG. Diadaptasi daripada kisah dongeng yang popular dalam kalangan masyarakat seluruh dunia, Evans pertama kali berpelung berlakon dengan aktres jelita, Emma Watson. Evans (kanan) dalam temu bual menyatakan sangat menghormati kredibiliti Watson bukan sahaja sebagai seorang pelakon bahkan penyanyi. 

 Teruja 

 Menyifatkan filem yang mengutip jumlah tontonan trailer paling tinggi dalam sejarah sebanyak 127.6 juta tontonan itu sebagai paling memberi kesan dalam kerjayanya,

Evans yang cukup dikenali menerusi watak Bard dalam siri filem The Hobbit percaya naskhah klasik itu mempunyai tempat yang amat istimewa dalam hati peminat.

 “Saya berusia 12 tahun ketika Beauty and the Beast versi kartun ditayangkan pada tahun 1991.

Saya masih ingat ketika itu, saya memaksa ibu ke pawagam kerana saya memang peminat filem terbitan Disney.

 “Siapa sangka, membesar dengan filem seperti ini, kini saya diberi peluang berlakon dalam filem epik ini.

Bayangkan bagaimana sebuah filem animasi yang sangat terkenal itu kini divisualkan dalam bentuk filem sebenar dan buat pertama kalinya ia boleh di layar perak,” katanya penuh teruja.

 Diajak berbicara lanjut mengenai watak sebagai Gaston, Evans berasa beruntung kerana dapat melakonkan watak sebagai salah seorang villian terkenal cetusan Disney.

Bukan itu sahaja, bekerja dengan pengarah Condon umpama mimpi menjadi kenyataan buat dirinya.

 “Peluang berlakon dalam filem ini adalah satu perkara yang saya tidak kisah jika ia berlanjutan sampai bila-bila.

Saya tidak mahu penggambaran habis begitu sahaja.

 “Gaston adalah antara watak kegemaran saya dalam cerita dongeng ini.

Walaupun melakonkan watak vilain (penjahat), Gaston mempunyai pesona dan tarikannya yang tersendiri.

 “Lagipun, filem ini adalah kebanggaan Disney. Boleh saya katakan ia adalah antara filem yang begitu dekat di hati saya sepanjang saya berada dalam bidang lakonan,” katanya.

IMPIAN. Mengaku dirinya merupakan salah seorang peminat karya terbitan Disney, membawa watak Gaston dalam filem Beauty and the Beast sebagai impian yang terlaksana. 

 Muzikal 

 Berdiri sebagai pelakon yang mempunyai cinta dan potensi besar dalam cabang muzikal, Evans turut bercerita bahawa elemen yang membuatkan dirinya cukup teruja adalah dapat menonjolkan bakat nyanyiannya.

 Bukan hanya menyanyikan lagu berjudul Gaston yang cukup dekat dalam hati peminat, dia turut kagum dengan dua buah lagu yang baharu yang dicipta oleh komposer Alan Menken dan Tim Rice untuk filem tersebut.

 “Menyanyi adalah cinta pertama saya. Gaston adalah antara lagu yang paling digemari dalam filem ini kerana ia berentak rancak. Apatah lagi apabila menyanyi bersama Le Fou (lakonan Josh Gad).

 “Saya sedar, saya tidak mempunyai unsur humor yang tinggi seperti Gad tapi dia banyak membantu saya untuk menjadi pelawak.

Bekerja dengan dia memberi banyak pengajaran dan pengalaman baharu buat saya.

 “Dua lagu baharu yang ditambah dalam filem ini akan menjadi runut yang bukan popular dalam kalangan kanak-kanak bahkan orang dewasa.

Ia akan menjadi lagu malar hijau yang kekal di minda masyarakat dunia,” tutur Evans panjang lebar.

 Jika diberi pilihan sama ada melakonkan watak baik atau antagonis, Evans berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk melakonkan kedua-dua watak tersebut.

 “Saya suka kedua-duanya kerana setiap karakter sama ada antagonis atau protagonis, ia mempunyai cabaran yang tersendiri.

Menjadi tanggungjawab apabila melakonkan watak baik, orang harus suka kepada saya.

Kalau watak jahat, orang harus bencikan saya. Kalau itu berlaku, ia satu kepuasan,” ulas Evans yang mula menanam hasrat untuk bergelar pelakon seawal usia lapan tahun.

 Bagi menjayakan watak Gaston, Evans mendedahkan dia menonton filem asal sebanyak 10 kali tanpa bosan.

 “Sebelum memulakan penggambaran, saya menonton filem asal sebanyak 10 kali kerana memang sukakannya,” katanya yang pernah terlibat dalam program seperti Rent, Miss Saigon dan Piaf di UK.[Kosmo]

0 comments: