Thursday, March 2, 2017

#ALFATIHAH ~ Tan Sri Jins Shamsuddin Meninggal Dunia,Malaysia Kehilangan Lagenda Filem Negara

KUALA LUMPUR - Malaysia kehilangan sebutir permata dalam industri filem negara dengan kembalinya ke Rahmatullah Seniman Negara, Tan Sri Jins Shamsuddin, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

 "Jins Shamsuddin adalah antara legenda terakhir negara yang telah mengubah landskap perfileman tempatan selepas Tan Sri P.Ramlee, yang juga seorang lagi legenda.

 Kita pasti merinduinya," katanya kepada Bernama hari ini.

 Allahyarham Jins Shamsuddin, 81, berlakon dalam lebih 40 buah filem tempatan dan antarabangsa serta mengarah sendiri beberapa filem 'box-office' dalam tempoh 50 tahun, bermula dengan lakonan pertamanya dalam filem 'Matahari' pada 1951.

 Salleh berkata, Allahyarham Jins Shamsuddin yang terkenal sebagai 'James Bond Melayu' ketika berlakon watak utama sebagai perisik Jefri Zain dalam filem 'Gerak Kilat', berjaya membawa peminat filem tempatan dari era filem percintaan ala hindustan ke genre perfilemen aksi 'thriller' moden.

 Beliau berkata, Jins Shamsuddin, anak didik P. Ramlee, telah berjaya memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia dan negara jiran dalam setiap lakonan serta filem arahannya melalui mesej patriotisme, keberanian, ketaatan dan perjuangan seperti yang dipaparkan dalam filem 'Bukit Kepong'.

 "Saya dan seluruh warga Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berdoa moga ALLAH SWT merahmati roh Allahyarham," kata Salleh.

 Jins Shamsuddin atau nama sebenar Mohamed Jins bin Shamsuddin, diberi penghormatan tinggi oleh kerajaan apabila beliau dilantik menjadi Senator, selama dua penggal mulai 2004 hingga 2011, sebagai mewakili komuniti perfileman serta menjadi pelakon filem yang pertama mendapat status tersebut.

 Selain itu, allahyarham yang dilahirkan di Taiping, Perak, turut dianugerah gelaran Seniman Negara oleh kerajaan pada 2009 atas sumbangannya pada kemajuan industri filem negara.

 Jins Shamsudin meninggal dunia ketika hendak mendapat rawatan di sebuah klinik di Taman Melawati di sini petang tadi. - Bernama

0 comments: