#TULAR ~ DJ AS Randy Seidman Mengaku Fazura Sebagai Teman Wanita Beliau

Kelibat pelakon Nur Fazura dalam sebuah video ketika berada di New York, Amerika Syarikat (AS) menarik perhatian apabila lelaki yang pernah dikaitkan dengannya iaitu Randy Seidman mendedahkan wanita itu adalah teman wanitanya.

Menerusi rakaman video berdurasi lebih 10 minit itu, lelaki itu yang juga seorang deejay secara spontan mempertahankan Fazura selepas melihat dua lelaki memegang plakad provokasi bagi melarang kemasukan komuniti Islam ke negara itu.

 "Teman wanita saya seorang Muslim dan dia adalah pencinta keamanan dari Malaysia.

 "Kenapa dia harus dilarang masuk kerana dia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan keganasan.

 "Anda membuat kenyataan yang tidak masuk akal tentang Muslim dan saya tersinggung," katanya.

Randy tidak bersetuju dengan tindakan dua lelaki yang cuba membuat provokasi terhadap orang Islam.

Berdasarkan video eksperimen sosial yang dimuat naik di Youtube sejak dua minggu lalu, dua lelaki berkenaan memegang plakad meminta orang ramai menderma bagi menghalang kemasukan umat Islam ke negara Uncle Sam itu.

 Seorang lagi lelaki pula memegang plakad yang tertulis "larangan terhadap orang Islam adalah jalan penyelesaian".

 Hasil pemeriksaan, video yang telah ditonton sebanyak 287,453 kali itu dimuat naik oleh pemilik akaun YouTube dengan nama Hizzy.

 Dua lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Izzy dan Haseeb banyak menghasilkan video eksperimen sosial berkaitan masyarakat.

 Sementara itu Fazura yang tidak memberikan sebarang reaksi terhadap plakad berbentuk provokasi itu dilihat cuba menghalang Randy daripada terus berbalah dengan dua lelaki tersebut.

Dua lelaki yang dikenali sebagai Haseeb dan Izzy membuat eksperimen sosial dikalangan rakyat Amerika. 

 Sebelum meninggalkan dua lelaki itu, Randy sempat memuji dan menyifatkan penyanyi lagu Sayangi Dirimu itu sebagai seorang wanita cantik selain mempunyai hati yang baik.

 "Teman wanita saya cantik, mempunyai hati baik dan anda cuba katakan dia patut dilarang masuk?" soal Randy.

 Presiden Donald Trump baru-baru ini telah mengeluarkan perintah eksekutif melarang kemasukan pelarian dan pelawat dari tujuh buah negara Islam.

 Walaupun Malaysia tidak termasuk dalam senarai itu tetapi masyarakat dunia yang beragama Islam khuatir mereka juga akan menjadi mangsa kepada penguatkuasaan peraturan baharu itu.

 Isu itu juga bukan sahaja menimbulkan kemarahan dan bantahan masyarakat dunia tetapi rakyat Amerika sendiri.[mStar]

No comments