#TERKINI ~ Adibah Noor Bakal Lancar Album Ketiga Mac Ini

Selebriti serba boleh, Adibah Noor bakal melancarkan album studio ketiganya yang diberi judul Jiwa Sentuh Jiwa pada Mac ini.

 Kali terakhir Adibah muncul dengan album studio adalah pada tahun 2010 menerusi album Teman.

 “Saya kini sedang dalam proses untuk melancarkan album ketiga pada Mac ini.

Album ini berbeza berbanding dua album saya sebelum ini kerana album ini merupakan album duet penuh.

 “Album ini menampilkan saya berduet bersama ramai penyanyi lain dalam satu album.

 Insya-Allah, album ini bakal memuatkan lapan buah lagu,” kata Adibah.

 Menerusi lapan lagu ini, Adibah atau nama sebenarnya Adibah Noor Mohamed Omar berduet dengan lapan penyanyi berbeza.

 “Antara penyanyi yang berkolaborasi dengan saya ialah Misha Omar, Anuar Zain, Amir Jahari, Nassier Wahab, Dina Nadzir, Sam Innuendo dan ramai lagi.

Proses rakaman lagu dalam album ketiga saya ini sudah siap sepenuhnya dan album ini sedang melalui proses pembungkusan.

 “Saya menggunakan wang sendiri untuk menyiapkan album ini.

Tajuk album Jiwa Sentuh Jiwa dipilih bersempena lagu duet saya bersama Misha,” katanya lagi.

 Antara komposer dan penulis lirik yang terlibat dalam album Jiwa Sentuh Jiwa ini ialah Azlan Abu Hassan, Aubrey Suwito, Ad Samad dan ramai lagi.[Astro Gempak]

No comments