#TAHNIAH ~ Tengku Khalidah Wartawan Hiburan Pertama Terima Datuk

Presiden, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) iaitu Tengku Khalidah Tengku Bidin menjadi wartawan hiburan Melayu pertama dalam sejarah di negara ini yang menerima gelaran Datuk ketika masih bertugas.

 Tengku Khalidah, 42, menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena sambutan Ulang Tahun ke-86 Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar yang berlangsung di Istana Pahang, Kuala Lumpur di sini, pada Jumaat.

 Tengku Khalidah berkata, kurniaan darjah kebesaran itu menjadi kenangan paling indah dan pencapaian peribadi amat membanggakan dalam kehidupannya.

 "Saya menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah atas penganugerahan yang akan menjadi kenangan paling indah dan pencapaian peribadi paling membanggakan dalam kehidupan saya ini.

Sesungguhnya, pencapaian ini adalah tanda aras tertinggi buat wartawan wanita.

 “Lebih membuatkan saya rasa terharu, bagi pihak wartawan hiburan, pengiktirafan ini sebagai satu penghormatan buat kerjaya kami yang sememangnya amat dekat dalam membantu perkembangan bidang kesenian, perfileman dan seni kreatif dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh WHAM di sini pada Jumaat.

 Memulakan kerjaya sebagai wartawan di akhbar Pentas Dunia ketika menunggu keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada 1993, beliau kemudiannya berpindah ke akhbar Harian Watan dan bertugas selama dua tahun, sebelum beralih ke syarikat akhbar ulung dalam negara, Kumpulan Utusan pada April 1996.

 Ketika di Kumpulan Utusan, Tengku Khalidah pernah bertugas sebagai wartawan Majalah HAI, wartawan akhbar Utusan Malaysia, Pengarang Hiburan Kosmo!, Pengarang Hiburan Utusan Malaysia dan kini Pengarang Hiburan Pancaindera, Mingguan Malaysia.

 Dalam bidang sastera, Tengku Khalidah pernah mencacat sejarah sebagai deklamator puisi pertama dalam negara yang diberi peluang menyampaikan puisi di pentas paling berprestij Istana Budaya dengan menggunakan teknologi 'black ghauze' yang diiimport khas dari Singapura.

 Selain itu juga, Tengku Khalidah merupakan Juara Pengacara Jemputan NONA pada 1998, beberapa tahun selepas Puan Sri Normala Shamsuddin menyandang gelaran yang sama dalam program anjuran TV3 itu.

 Ketika masih berkhidmat sebagai wartawan, beliau turut berkorban masanya untuk menimba ilmu secara sambil sehinggalah menerima Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).[mStar]

No comments