#FILEM BARU ~ Resident Evil: The Final Chapter - Pertaruh nyawa untuk selamatkan bumi

Kemunculan filem Resident Evil: The Final Chapter (The Final Chapter) yang bakal menggegarkan pawagam seluruh negara bermula esok melengkapi enam francais karya hebat itu.

 Menampilkan nama besar dalam dunia perfileman Hollywood iaitu Milla Jovovich, Ali Larter, Shawn Roberts, Ruby Rose, Eoin Macken, William Levy dan Iain Glen, The Final Chapter memaparkan kesinambungan perjuangan Alice (Milla) yang dikhianati Albert Wesker (Roberts).

 Albert dan angkatan Umbrella bergabung menghancurkan bumi dengan menghasilkan ‘kiamat terancang’ bagi membina kehidupan baru.

 Namun begitu, Alice mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan bumi dengan melepaskan penawar yang disebarkan melalui udara, sekali gus membunuh Virus T yang dicipta Umbrella.

 Dalam satu temu bual, Milla mengakui The Final Chapter adalah karya terbaik pernah dihasilkan dalam semua rangkaian filem Resident Evil.

 “Kami mahu orang ramai menonton karya terbaik maka terhasillah The Final Chapter.

 “Filem ini sarat babak aksi dan membongkar kisah silam Alice,” katanya.

 Menurut pelakon itu lagi, dia sangat berpuas hati dengan hasil filem ini. “Ada beberapa babak yang saya rasa sangat berpuas hati. The Final Chapter menampilkan makhluk yang tidak pernah muncul dalam filem dan hanya ada dalam permainan video.

 “Apabila dapat melihat sendiri makhluk itu bertarung dengan saya, memang saya puas,” katanya.

 Bercerita mengenai cabaran menjayakan watak Alice dalam filem terakhir ini, Milla berkata ada perbezaan yang dirasainya.

 “Saya pernah lakukan pelbagai aksi menggunakan kabel sebelum ini.

Namun dalam The Final Chapter, ada bezanya walaupun masih menggunakan kabel.

 “Ketika beraksi, badan juga perlu bekerja keras dan lebih membantu apabila saya berasa takut melihat kawan berdepan detik kematian,” katanya.

 Dalam temu bual sama, Milla turut berkongsi dia sering memasukkan jiwa Alice ke dalam dirinya apabila berdepan masalah.

 “Setiap kali ada kekusutan, saya akan menyerap jiwa dan roh Alice dalam diri saya. Alice wanita yang sangat fokus dan bertanggungjawab,” katanya.[myMetro]

No comments