Tuesday, January 31, 2017

#DOA ~ Datuk Lat stabil setelah keluar dari IJN

Kartunis terkemuka tanah air, Datuk Lat atau nama sebenarnya Mohd Nor Khalid, 65, berada dalam keadaan stabil namun tidak dapat menerima kehadiran pelawat dalam masa terdekat.

 Isterinya, Datin Faezah Ahmad Zanzali berkata, suaminya yang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara sudah dibenarkan keluar sejak tiga hari lalu dan kini berada di rumah di sini.

 "Datuk Lat stabil dan masih perlu berehat secukupnya dan seboleh-bolehnya mengurangkan sebarang gangguan.

 "Minta maaf kepada semua kerana kami tidak dapat menerima pelawat buat masa sekarang kerana mahu beliau betul-betul dapat berehat sepenuhnya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

 Beliau berkata, doktor memaklumkan suaminya itu yang berdepan dengan komplikasi pada saluran jantung yang tersumbat menjalani rawatan prosedur ‘pacemaker’ dan ‘angioplasty’ dan iaitu prosedur membuka semula saluran darah yang tersumbat.

 Katanya, pencipta watak ‘Kampung Boy’ itu masih perlu membuat beberapa rawatan susulan di IJN sekurang-kurang sebulan sekali manakala keadaan kaki kanannya masih belum pulih dan perlu menggunakan tongkat untuk berjalan secara perlahan-lahan.

 Faezah mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak terutama rakan yang begitu mengambil berat serta mendoakan kesihatan suaminya.

 Datuk Lat sebelum ini dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Ipoh berikutan mengalami komplikasi jantung kira-kira tiga minggu lalu sebelum menjalani rawatan di IJN.[hMetro]

0 comments: