#ALFATIHAH ~ Vokalis Kumpulan Samudera, Ujang Meninggal Dunia

Ujang (dua dari kanan) ketika hadir pada sidang media Festival Empire Rock pada 2014. Gambar Ihsan Facebook Empire Rock Kapak Malaysia 

 Vokalis kumpulan Samudera iaitu Ujang ditemui mati di rumahnya di Felda Palong Timur, Segamat, Johor kira-kira pukul 12 tengah hari, Selasa.

 Saudara angkatnya, Mohd Ismail N. Isa, 30, ketika dihubungi mStar Online memberitahu mayat berkenaan ditemukan oleh rakan sekerja Ujang yang datang melawat Allahyarham yang sudah enam hari tidak datang bekerja.

 "Rakan sekerjanya bimbang tentang keadaan Ujang yang sudah enam hari tidak datang bekerja dan mengambil keputusan untuk melawatnya di rumah.

 "Bagaimanapun rakannya terkejut apabila menemui arwah di dalam biliknya sebelum menelefon saya memaklumkan perkara itu," katanya.

 Berita kematian penyanyi terkenal era 80-an itu menjadi tular di media sosial apabila Ujang atau nama sebenarnya Sarfen Husin, 50-an dikatakan sudah meninggal dunia sejak tiga hari lalu sebelum ditemukan.

 Dalam pada itu, Ismail berkata, dia tidak dapat mengesahkan mengenai kebenaran dakwaan berkenaan namun memberitahu mayat Ujang ditemui berada dalam keadaan menyayat hati.

 Kata Ismail, ketika ini pihak polis sudah berada di lokasi kejadian dan mayat dijangka dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

 "Saya tak dapat pastikan sama ada benar atau tidak arwah meninggal tiga hari lalu seperti diperkatakan tetapi keadaan mayat yang ditemui seperti sudah beberapa hari meninggal dunia.

 "Diharap tiada spekulasi yang tidak benar disebarkan di laman sosial dan sama-sama kita mendoakan yang baik-baik untuk Allahyarham," katanya.

 Sementara itu, Ismail berkata, kali terkahir dia bertemu dengan Ujang pada minggu lalu apabila lelaki itu memberitahunya dia baharu pulang daripada hospital.

 Bagaimanapun Ujang tidak menyatakan penyakit dihidapinya sehingga memerlukan dia ke hospital.

 "Ujang masih belum berkahwin dan sejak tinggal di Felda berkenaan dia memang tinggal seorang diri.

 "Saya mengenalinya selepas nenek saya mengambilnya sebagai anak angkat dan sejak itu kami rapat," jelasnya.

 Ketika bersama kumpulan Samudera, Ujang sempat merakamkan beberapa buah album seperti Titian Hasrat (1993), Terminal Cinta (1994) dan Salam Sejahtera (1995).

Mereka juga popular dengan lagu-lagu seperti Salam Sejahtera, Untuk Apa Kita Bertemu dan Bila Diburu Kenangan.

 Bagaimanapun pada 1997, Ujang menyertai kumpulan X-Ray dan popular menerusi lagu-lagu seperti Sungguh Tak Ku Sangka, Airmata Dewiku, Mekar Dijiwa dan Lembayung Senja.[mStar]

No comments