#RANCANGAN BARU~Ustaz Kazim kemudi Apa Cerita Kome

PENDAKWAH bebas terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias sekali lagi diberi kepercayaan oleh TV AlHijrah untuk mengemudikan sebuah program baharu, Apa Cerita Kome yang bersiaran setiap Isnin dan Selasa, jam 9 malam.

 Program yang berbentuk edutainment ini merupakan kuliah agama yang disampaikan dengan gaya santai bagi memudahkan pengisiannya difahami dan diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat.

 Ustaz Kazim yang sebelum ini pernah mengendalikan program 30 Minit Bersama Ustaz Kazim Elias sememangnya cukup dikenali dengan gaya ceramahnya yang bersahaja menggunakan pendekatan talaqi berkitab dalam mengupas tajuk perbincangan bersama penonton.

 Kitab Muhimmah dan Mawa’idz al Badi’ah menjadi rujukan utama Ustaz Kazim dalam setiap episod rakaman yang dijalankan di beberapa tempat iaitu di Pusat Pengajian Al-Barakah, Masjid Annur Batu 8 Ulu Kinta Perak dan juga di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir.

 Antara pengisian dan kupasan tajuk perbincangan dalam program ini adalah berkisar mengenai adab kekeluargaan, hubungan suami isteri, kelebihan dan kekurangan dalam sebuah rumah tangga.

 Sesuai dengan nama program, Ustaz Kazim yang turut dikenali kerana gaya humornya ini akan menggunakan loghat Perak sepanjang mengendalikan program agar ia lebih dekat dan berkesan kepada penonton.

 Antara tajuk-tajuk menarik yang diketengahkan sepanjang 16 episod siaran ini adalah Status Suami Isteri, Kasih Suami, Kewajiban Isteri, Sampai ke Jannah, Adab Lazim Isteri, Kecuaian Suami dan banyak lagi.

 Episod pertama yang disiarkan mulai 7 November lalu mendapat respons hangat dari penonton menerusi komen-komen membina di laman sesawang TV AlHijrah dan juga di Facebook.

 TV AlHijrah meletak keyakinan program ini ini mampu menjadi satu medium dan landasan untuk umat Islam lebih memahami dan mendalami tentang agama Islam.[SH]

No comments