Friday, November 11, 2016

#PRINSIP~Farah Fauzana terus istiqamah dalam kerjaya

Farah Fauzana 

SETIAP individu mahukan yang terbaik dalam hidup, baik dalam kerjaya mahupun kehidupan peribadi.

Lalu, perancangan teliti adalah antara rahsia sukses bagi menjamin agar kelangsungan hidup lebih baik pada masa akan datang.

 Itulah antara kunci kehidupan yang dipraktikkan selebriti terkenal, Fara Fauzana atau nama lengkapnya, Farah Fauzana Mohd Fadzil, 36, yang mengakui, untuk melakukan yang terbaik dalam perjalanan kerjayanya, dia terlebih dahulu akan merancang sesuatu itu dengan lebih awal.

 “Jujurnya, saya gemar membuat perancangan dan selalunya saya akan rancang apakah yang saya lakukan enam bulan lebih awal.

 “Jadi, apabila adanya sesebuah perancangan itu, sesuatu perkara yang akan dilakukan menjadi lebih teratur dan mengelakkan kita kelam-kabut pada saat-saat akhir,” ujarnya yang kini mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia penyiaran radio setelah lebih 10 tahun aktif sebagai penyampai radio.

 Ditanya mengenai persoalan tersebut dengan lebih lanjut, bintang yang dilahirkan pada 7 Februari 1980 ini menjelaskan, keputusannya itu tidak terikat atas desakan sesiapa.

 Sebaliknya, ia terbit sejak tahun lalu lagi dan baginya, sudah tiba masa buatnya untuk beri fokus kepada cabang kerjaya lain, misalnya sebagai penceramah bebas.

 “Pada masa sama, saya kini juga bertindak sebagai juri untuk program Pencetus Ummah musim terbaru, selain sibuk dengan tugasan mengacarakan Separuh Akhir Muzik-Muzik.

 “Selain itu, saya juga ada beberapa projek dengan sebuah kementerian untuk penghujung tahun ini dan awal tahun depan.

 "Cuma saya tidak boleh untuk dedahkan apakah projek tersebut dengan terperinci kerana ia masih lagi di peringkat perbincangan. Apa pun, saya mengharapkan yang terbaik, insya-ALLAH,” tambahnya lagi.[SH]

0 comments: