Friday, November 11, 2016

#MASIH BERBISA~Datuk Jamali Shadat tampil jenaka bermesej

Jamali Shadat 

DATUK Jamali Shadat bukanlah nama asing dalam dunia jenaka tanah air di mana keunikannya yang mampu meniru suara pelbagai karakter.

Ia menjadi tarikan kepada khalayak untuk menonton setiap persembahan jenakanya.

 Selama lebih 40 tahun penglibatannya dalam dunia lawak jenaka, pelawak yang sudah menginjak usia 74 tahun ini banyak mengetengahkan jenaka bermesej positif terutamanya berkait keharmonian hubungan antara kaum.

 Malah dalam setiap persembahannya, selain menggunakan bahasa Melayu, beliau turut menyelitkan bahasa Inggeris, Cina, Tamil dan Jawa dalam usaha untuk lebih dekat dengan penonton. 

Menerusi watak kanak-kanak bernama Atan yang begitu sinonim dengan dirinya, Datuk Jamali sering tampil dengan gaya jenaka bersahaja yang bukan hanya menghiburkan kanak-kanak, tetapi juga segenap lapisan masyarakat yang tertarik dengan keunikan persembahannya.

 Menurut Datuk Jamali, penglibatannya dalam bidang seni bermula sekitar tahun 1960an apabila beliau menyertai pertandingan lawak jenaka anjuran RTM.

 “Dalam pertandingan tersebut, saya dinobatkan juara di peringkat negeri Selangor dan tempat kedua pada peringkat kebangsaan yang menampilkan ramai bakat hebat dalam lawak jenaka ketika itu.

 “Selepas menyertai pertandingan tersebut, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan memberi peluang kepada saya untuk bersama mereka membuat jelajah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak untuk menghiburkan para perajurit tanah air.

 “Pengalaman keluar masuk kem untuk menghiburkan para tentera ini cukup menyeronokkan buat saya dan rakan-rakan ketika itu kerana mereka memberikan respons yang sangat baik kepada setiap persembahan kami,” imbasnya.

 Pada tahun 1971, Datuk Jamali telah dinobatkan sebagai juara pertama program Bakat TV anjuran RTM yang kemudiannya menjadi platform buat dirinya melangkah lebih jauh dalam dunia lawak jenaka.

 “Selepas menjuarai pertandingan itu, saya semakin dikenali dan mendapat banyak peluang dalam mengembangkan bakat dalam bidang lawak jenaka, apatah lagi ketika itu industri seni tidak mempunyai ramai pelawak.

 “Saya bersama rakan-rakan seperti Wazata Zain, AR Badul dan beberapa lagi orang lagi sering bekerjasama dan berkongsi peluang yang ada untuk sama-sama menghiburkan masyarakat dengan jenaka yang punya isi,” kata bapa kepada lapan orang anak ini lagi.

 Tidak pernah patah semangat 

 Di sebalik kemasyhuran yang dilaluinya, Datuk Jamali mengakui turut berdepan dengan pelbagai cabaran yang kadang-kala begitu menguji dirinya sebagai anak seni.

 “Saya bukan berasal daripada keluarga yang berlatar belakang seni, jadi penglibatan awal saya dalam bidang ini pada mulanya tidak begitu disenangi keluarga yang sangat mengutamakan pendidikan agama.

 “Bagaimanapun, saya berjaya membuktikan bahawa penglibatan saya dalam bidang ini turut menyumbangkan sesuatu yang positif menerusi mesej-mesej yang saya sampaikan dalam setiap lawak jenaka saya kepada masyarakat,” katanya.

 Sementara cabaran lain pula, Datuk Jamali mengakui tidak mudah untuk kekal bertahan dalam industri yang sentiasa menyaksikan kehadiran ramai bakat baharu.

 “Mungkin kebolehan saya dalam mempelbagaikan suara menerusi macam-macam karakter itu menjadi kelebihan utama saya dalam menambat hati orang.

 “Kelainan itu barangkali telah membezakan saya dengan bakat-bakat yang lain, malah sehingga hari ini pun saya rasa belum ada pelawak yang boleh melakukan perkara yang sebegitu,” tegasnya.

 Berkongsi kenangan yang tidak dapat dilupakannya ketika era kegemilangannya dahulu, kata Datuk Jamali, beliau pernah beberapa kali ditipu penganjur yang tidak mengotakan janji mereka dalam soal pembayaran.

 “Saya pernah menunggu sehingga pukul 2.00 pagi di hadapan pejabat pihak penganjur bagi mendapatkan bayaran yang dijanjikan untuk persembahan, namun sampai ke sudah mereka tidak muncul.

 “Bukan hanya sekali, tetapi ia berlaku beberapa kali sehingga membuatkan saya sudah terbiasa dengan situasi itu dan menganggap barangkali ia bukan rezeki ketika itu.

 “Apapun, kejadian itu tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus menghiburkan masyarakat kerana percaya ALLAH SWT pasti akan gantikan rezeki itu dalam bentuk yang lain pula,” katanya.

 Menyifatkan dunia lawak jenaka semakin berkembang dan diterima ramai pada masa sekarang, beliau yang digelar pelawak sepanjang zaman ini mengharapkan agar pelawak-pelawak era baharu ini tampil dengan jenaka yang lebih bermotivasi.

 “Jika kita mahu menjadi pelawak yang dihormati, buatlah jenaka yang mempunyai mesej positif dan berguna untuk masyarakat tidak hanya mengutamakan hiburan kosong semata-mata.

 “Jangan fikir jenaka itu hanya untuk membuat orang ketawa sahaja, tetapi biarlah ia menjadi motivasi agar mereka tidak pulang dengan dada yang kosong selepas menonton persembahan lawak jenaka kita,” akhirinya.[SH]

0 comments: