#IMPIAN~Diana Danielle mahu jadi penyanyi pula

MESKIPUN sibuk menguruskan keluarga, model dan pelakon jelita, Diana Danielle tidak melupakan impiannya untuk bergelar penyanyi, satu hari nanti.

 Bahkan, selebriti berusia 25 tahun ini turut meletakkan harapan tinggi untuk merakamkan album, tidak lama lagi. 

"Buat masa ini, saya sudah merakamkan dua lagu. Insya-ALLAH, ia akan dilancarkan tidak lama lagi.

 "Saya merancang mengeluarkan single demi single terlebih dahulu sebelum mengumpulkannya dalam satu album.

 "Saya sendiri yang mengeluarkan dana bahkan saya juga tidak hanya berfokus kepada satu-satu genre," katanya. 

Malah, isteri kepada aktor Farid Kamil ini mengakui menyanyi merupakan impiannya sejak kecil.

 "Sejak kecil saya mahu jadi penyanyi namun, rezeki saya lebih terarah kepada bidang lakonan.

 "Tapi, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya bergerak aktif dalam bidang nyanyian memandangkan ia lebih fleksibel dengan keadaan saya.

 "Lagipun, pada saya menyanyi bukan hanya sekadar kerjaya sebaliknya saya mahu menguji tahap kemampuan diri selain berseronok," katanya.

 Sebelum ini, Diana sudah membuktikan kemampuannya dalam seni suara menerusi filem Magika dan Kami Histeria. 

Pun begitu, Diana mengakui tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap aktiviti seni.

 Bintang filem Maut ini sebaliknya lebih selesa menguruskan keluarganya lebih-lebih lagi terhadap tumbesaran dua anaknya, Muhammad, 3 dan Nur Aurora, tiga bulan.

 "Saya rasa, aktiviti terhadap industri seni ini mungkin hanya dalam 40 peratus manakala selebihnya adalah untuk keluarga. 

"Lagipun, Nur Aurora masih lagi kecil bahkan dulu, selepas melahirkan Muhammad, saya ambil masa sehingga setahun untuk kembali aktif.

 "Jadi, adalah adil untuk saya melakukan perkara yang sama terhadap Nur Aurora,'' katanya.[SH]

No comments