#TAHNIAH~Nad Zainal rahsia hal perkahwinan menanti hari esok

DIAM tak diam, hanya tinggal sehari lagi sebelum pelakon kecil molek, Nad Zainal bakal mengakhiri zaman bujangnya.

 Selepas melalui beberapa siri percintaan yang berakhir dengan kekecewaan, Nad akhirnya memilih untuk menerima Muhamad Faliq Amirudin, 27, sebagai teman hidupnya.

 Majlis akad nikah akan diadakan selepas solat Jumaat di Bukit Jelutong, Shah Alam, diikuti dengan majlis persandingan pada sebelah malam di lokasi sama.

 Tanpa sebarang hebahan atau kisah percintaan mereka menjadi perhatian, berita perkahwinan Nad sedikit sebanyak mengejutkan peminatnya.

 Ditanya mengenai tindakannya yang seolah-olah merahsiakan detik bahagianya, Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin, 25, berkata, keputusan itu dibuat demi menjaga hati kedua-dua belah keluarga.

 "Saya sebenarnya bukan mahu berahsia sangat, walaupun ada pihak yang berteka-teki sebelum ini.

 "Namun, seeloknya lebih baik ia keluar dari mulut saya sendiri (berita perkahwinan).

Bukan juga saya meletakkan diri saya dalam kalangan orang yang hebat apabila terlalu berahsia tentang perkahwinan saya ini.

 “Saya bimbang kalau ada keluarga dan saudara saya yang terasa hati apabila mengutamakan perkara penting sebegini dengan orang luar berbanding keluarga sendiri.

 “Sebab itulah saya menutup mulut tentang perkara ini. Apabila semua urusan sudah selesai, barulah saya kongsikan,” katanya kepada Zass ketika ditemui, baru-baru ini.

 Bukan itu sahaja, Nad berkata, detiknya diijabkabulkan dan beberapa perkara pada hari bahagianya itu nanti juga tidak akan dikongsi kepada umum.

 "Kedua-dua keluarga sudah putuskan yang mereka mahukan privasi termasuk majlis akad nikah yang hanya dihadiri kaum keluarga tanpa liputan media.

 "Begitu juga dengan perincian seperti soal berapa dulang hantaran, wang hantaran dan semua melibatkan material telah diputuskan hanya antara keluarga sahaja tanpa perlu diumumkan.

 "Lagipun majlis perkahwinan ini sebenarnya mahu meraikan pasangan itu. Selain itu nanti ada pula pihak yang kata kita nak menunjuk-nunjuk jika semuanya dikongsi," ujarnya.

 Berkongsi persiapan menjelang majlisnya itu nanti, Nad berkata, semua perkara hampir selesai dan dia hanya menunggu hari bersejarahnya sahaja.

 "Saya hanya tinggal menunggu hari pernikahan itu sahaja. Dan berharap semuanya berjalan dengan lancar seperti yang diinginkan.

 "Segala persiapan termasuk dewan, makanan juga alhamdulillah setakat ini semuanya baik sahaja kerana diuruskan sendiri oleh kami tanpa ada menerima mana-mana tajaan.

 "Hanya pakaian dan solekan sahaja ditaja oleh Alha Alfa. Selainnya saya uruskan sendiri kerana percaya dengan kemampuan diri selain akan lebih berpuas hati," katanya yang memilih tema moden tradisional untuk majlis perkahwinannya itu.

 Perasaan hormat 

 Dalam pada itu, berkongsi detik perkenalan mereka, Nad berkata, perkenalan mereka sudah terjalin tujuh tahun lalu.

 "Kami sebenarnya sudah kenal tujuh tahun lalu ketika masih belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Ketika itu, Faliq adalah senior saya yang mengambil jurusan perfileman, dan saya jurusan teater.

 "Namun sejak awal tahun lalu, barulah kami mula bercinta dan pada 31 Ogos lalu, kami sudah mengikat tali pertunangan.

 "Selepas pernah kecewa sebelum ini, saya sudah penat untuk main-main lagi dalam percintaan. Justeru, apabila jumpa lelaki yang benar-benar sesuai, saya terus mahu berkahwin dengannya," katanya.

 Tambah Nad, sifat Faliq yang mempunyai pendirian hidup dan berjaya menimbulkan rasa hormat Nad kepadanya membuatkan aktres yang terkenal menerusi drama Kampung Girl ini percaya dengan pilihannya.
"Apabila saya ada rasa hormat dengannya, baharulah sesuai untuk menjadi pemimpin keluarga. Saya juga akan berasa takut seandainya dia tiada dalam hidup saya.

 "Selain itu kriteria penting untuk menjadi suami saya adalah dia perlu ada pendirian, jika tidak ada pendirian, habislah sesebuah rumah tangga itu.

 "Faliq juga bukan jenis yang mementingkan diri sendiri, dia lebih pentingkan keluarga. Sebab itu, selepas kami serius, dia bawa saya jumpa keluarganya.

Lelaki lain belum pernah bawa saya jumpa keluarga mereka," katanya.

 Bahkan Faliq juga banyak mengubah sikapnya daripada tidak matang kepada lebih baik.

 "Saya juga sukakannya kerana pemikirannya sama dengan ibu bapa saya. Tambahan dia mahu jadikan saya isterinya bukan kerana mahu masuk ke dunia saya.

 "Dia juga selalu sabar dengan perangai saya yang ada kalanya terlebih ego dan menasihati saya dalam banyak perkara," katanya mengakhiri perbualan.[SH]

No comments