Thursday, November 5, 2015

#SEBATI~Kerinduan Yana Samsudin Pada Dunia Lakonan

Yana bersama suami tercinta. 

 PERJALANAN aktres kelahiran Yong Peng, Johor ini sebagai anak seni sememangnya berjalan dengan lancar.

 Bakatnya menerusi bidang lakonan sangat menyerlah sehingga dia menjadi salah seorang pelakon yang sering menghiasi layar skrin dan layar perak.

 Pun begitu, empunya nama Norliana Samsudin ini mengambil keputusan untuk memperlahankan karier lakonannya apabila bertukar status isteri, Mac lalu.

 Kini, selepas beberapa bulan berlalu, pelakon yang dikenali sebagai Yana Samsudin ini mengakui dia sebenarnya sangat merindui dunia lakonan yang menjadi titik permulaan kepada kejayaannya dalam industri seni.

 "Saya dikenali sebagai seorang pelakon. Walaupun di awal kemunculan saya, saya sebenarnya tampil sebagai penyanyi, tetapi ramai yang tidak tahu.

 "Kerana itu, saya lebih merindui lakonan berbanding nyanyian," katanya.

 Tidak pernah menganggap rezekinya sebagai pelakon telah berkubur, akui Yana, dia gembira kerana masih diterima dalam bidang lakonan.

 "Ramai yang tahu saya telah berjinak-jinak dan memberi fokus kepada bidang pengacara.

 "Tetapi ia bukan bermakna saya menolak terus untuk berlakon. Seperti yang pernah saya katakan, saya hanya mahu memperlahankannya seketika untuk memberi perhatian kepada rumah tangga.

 "Kerana itu juga saya masih menerima pelbagai tawaran lakonan sehingga kini.

Cuma hanya jadual yang membatasi saya untuk menerima sesuatu kerja itu atau pun tidak," kata isteri kepada Fadzil Zahari ini.

 Jelas pelakon Wawa Semput ini, dia juga bukan seorang yang suka menerima banyak kerja dalam satu masa. "Sekarang saya sibuk sebagai pengacara dan hos bagi beberapa program seni.

 "Jadi, penglibatan sebagai pelakon itu agak terbatas. Insya-ALLAH, apabila ada masa yang sesuai, saya mungkin akan menerimanya," katanya.

 Muncul sebagai pelakon pembantu bagi telefilem Travelling Beruang baru-baru ini, katanya, dia menerima tawaran tersebut kerana ia tidak memerlukan penggambaran yang lama dan panjang.

 "Tawaran tersebut kena pada masa, lagi pun hanya beberapa babak sahaja. Bagi saya, apa yang datang dahulu akan didahulukan.

 "Saya komited pada kerja dan saya tidak mahu susahkan orang lain," kata pengacara Galaksi ini.

 Jaga batas 

 Setelah mengambil keputusan untuk bertudung, pelakon berusia 30 tahun ini juga dilihat sangat menjaga pergaulan dan batasnya sebagai seorang wanita Muslim.

 Berkongsi mengenai perkara ini, katanya, dia bagaimana pun tidak pernah meletakkan syarat untuk tidak melakonkan apa sahaja babak bersentuhan antara bukan muhrim.

 "Alhamdulillah, saya sebenarnya memang tidak pernah meletakkan syarat sedemikian.

 "Tetapi, sebagai seorang Muslimah dan kini sudah bergelar isteri, saya mahu lakukan banyak perubahan ke arah kebaikan.

 "Setakat ini, apa sahaja tawaran yang datang, memang tidak memerlukan saya melakukan sentuhan yang melampau dan sebagainya," katanya.

 Selain muncul menerusi telefilem Travelling Beruang, Yana juga turut mengubati kerinduan peminatnya menerusi telefilem Rindu Dari Pencipta yang disiarkan di Astro Prima 31 Oktober lalu.

 Dalam perkembangan lain, pemilik jenama tudung Ayana by Yana Samsudin ini juga sedang sibuk menjalani penggambaran bagi program RTM iaitu Jejak Seribu Kaki dan merupakan Duta Media Sosial bagi Anugerah Skrin 2015.[SH]

0 comments: