Thursday, November 5, 2015

#PENANTIAN~Hanez Suraya teruja nanti kelahiran anak sulung

Hanez bersama suami tercinta. 

 BAKAL melahirkan cahaya mata sulungnya Disember nanti, pelakon cantik Hanez Suraya mengakui teruja menjadi seorang ibu.

 Katanya, meski pun sebelum ini pernah melihat rakan-rakannya hamil, tetapi dia tidak pernah merasakan perasaan sebegitu.

 "Inilah perbezaannya apabila kita sendiri yang melalui detik indah ini.

 "Jujur saya katakan, saya sangat gembira dan seronok melalui proses kehamilan ini," kata isteri kepada Romie Razin Adilha ini.

 Berkongsi perkembangan kehamilannya itu, ujarnya, tidak dapat digambarkan apabila bayi yang dikandunginya itu semakin bijak memberi respons.

 "Bayi saya ni memang lasak, adakala dia menendang saya dengan kuat dan menyukarkan saya bernafas.

 "Tetapi saya cukup seronok melayan apa sahaja tindakannya kini.

Bagi saya, fasa hamil ini sesuatu yang cukup berharga," katanya.

 Tambah Hanez, dia juga sering bercakap dengan anak di dalam perutnya lebih-lebih lagi ketika dia berseorangan di rumah.

 "Sekarang dah ada teman nak bersembang, kelakar juga rasa apabila bayi saya ni memberikan respons seolah-olah faham apa yang dicakapkan oleh saya," katanya.

 Selain itu, dia juga merasa cukup dihargai apabila suami tercinta sangat memanjakannya.

 "Apa sahaja yang saya nak, pasti akan dilayannya. Malah, keluarga dan teman rapat juga sentiasa mengambil berat keadaan saya," katanya.

 Bercerita pengalaman alahan yang dilaluinya, kata Hanez, dia bersyukur kerana dia sudah kembali seperti biasa kini.

 "Kalau dahulu saya sering loya, tetapi sekarang dah ok. Malah, saya juga sudah boleh memasak seperti biasa," katanya.

 Pada masa sama, Hanez juga tidak ketinggalan mendapatkan pelbagai info mengenai kehamilan dan proses bersalin bagi memastikan dia lebih bersedia berhadapan momen indah itu.

 "Sebenarnya suami tak izinkan saya lihat proses bersalin kerana dia tahu saya ini penakut. Tetapi saya buat juga sebagai persediaan.

Lagi pun, saya belum pernah ada pengalaman menjadi ibu.

 "Kena banyak cari info dan pengetahuan supaya tidak terkejut nanti," katanya yang enggan mendedahkan jantina anak sulungnya itu.[SH]

0 comments: