#HOT~14 Jelitawan Rebut Takhta Miss Universe Malaysia 2016

Seramai 14 jelitawan telah dipilih oleh Miss Universe Malaysia Organisation (MUMO) untuk bersaing merebut gelaran Miss Universe Malaysia 2016 pada Januari depan.

 Pengarah Nasional MUMO Carey Ng berkata senarai akhir peserta pertandingan ratu cantik itu diputuskan dalam tempoh enam bulan.

 Mereka yang dipilih ialah Alicia Tan, Ariessa Lam, Cindy Ng, Dhivya Dhyana, Hazelin Ng, Jennifer Ling, Kiran Jassal, Lina Soong, Loveena Ruben, Nisha Sema, Rema Rao, Chow Siat Teen, Swarna Naidu dan Yeoh Yen Nee.

 Carey berkata semasa kem kecantikan, semua peserta akan didedahkan dengan sesi dandanan, peragaan, gaya, pengucapan awam, lakonan, kecergasan dan fotografi.

 "Bagi 2016, kami mahu mendapatkan lebih ramai penonton dalam talian dengan keseluruhan proses ini akan dirakamkan dan disiarkan menerusi Youtube dalam 31 episod," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

 Carey berkata peminat boleh mengundi sekali lagi calon pilihan mereka dengan menggunakan aplikasi mudah alih 'Next Miss Universe Malaysia' yang disediakan secara percuma menerusi iTunes App Store dan Google PlayStore.

 Menurutnya sebahagian daripada kutipan yang diperoleh daripada acara Miss Universe Malaysia itu akan disalurkan kepada Program Rawatan, Penjagaan dan Sokongan Yayasan Aids Malaysia bagi membantu mangsa yang dijangkiti HIV dan AIDS.

 Mengenai Miss Universe Malaysia 2016, Carey berkata pemenangnya akan mewakili Malaysia pada pertandingan Miss Universe pada hujung tahun depan selain menerima hadiah wang tunai RM50,000 dan barang tajaan bernilai lebih daripada RM200,000.[mStar]

No comments