#HEBAT~Keluarga sempurna Che Ta-Zain Saidin

KISAH rumah tangga selebriti popular ini sentiasa menjadi perhatian umum.

Sementelah kedua-dua pasangan pelakon popular ini mempunyai reputasi tersendiri dalam bidang seni tempatan.

 Menariknya, bukan Rozita Che Wan ataupun Zain Saidin sahaja, tetapi anak mereka yang kini sudah berusia sembilan bulan turut mencuri tumpuan.

 Akui mereka, puteri sulung yang diberi nama Aaisyah Dhia Rana itu telah mencapai populariti lebih daripada mereka sendiri.

 Berkongsi lanjut mengenai kehidupan mereka kini, akui aktres yang turut dikenali sebagai Che Ta itu memberitahu, Aaisyah merupakan faktor keluarga kecil mereka kini sempurna.

 Meskipun sebelum ini Zain pernah menyatakan keinginan untuk menambah cahaya mata lagi dan memujuk pelakon Kiah Pekasam itu untuk mengandung lagi, tetapi ujar Che Ta, cukuplah mereka mempunyai Aaisyah seorang sahaja.

 “Setakat ni memang belum pernah terfikir nak tambah anak lagi. Saya pun bersyukur dengan apa yang ada. “Bukan sebab penat atau apa, tetapi dah cukup rasanya,” kata pelakon berusia 43 tahun itu ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya di Sunway Putra Hotel.

 Bercerita mengenai perkembangan Aaisyah pula, jelas Che Ta, anaknya itu hanya diberikan susu badan sehingga berumur enam bulan sahaja.

 “Selepas itu memang dia makan roti dan nasi. Biasanya pagi makan roti, tengah hari nasi, petang roti dan makan malam nasi.

 “Sekarang berat dia dah mencecah 11 kilogram,” katanya.

 Ditanya apakah Aaisyah menerima pelbagai tawaran dalam industri seni pula, Che Ta berkata, dia akan selektif mengenai perkara itu dan hanya menerima tawaran yang berbaloi sahaja.

 “Setakat ini memang dengan Mother Care sahaja, lagipun saya tidak mahu dia terlalu terdedah dalam industri dalam usia semuda ini.

Bimbang dia penat,” kata ibu kepada Ammar Effendy dan Aniq Ezra ini.

 Suami, isteri ligat bisnes 

 Mengakui bidang perniagaan yang diceburinya semakin berkembang, pemilik Padusi Production ini berkata, dia bersyukur rezekinya semakin mencurah walaupun terpaksa menolak tawaran lakonan.

 Akuinya, dia langsung tidak merindui dunia lakonan meskipun ia merupakan mata pencariannya di awal penglibatannya dalam industri ini.

 “Mungkin dek terlalu sibuk dengan perniagaan sendiri, saya sampai lupa untuk berlakon.

 “Memang banyak tawaran diterima, tetapi saya terpaksa tolak demi anak dan bisnes sendiri,” jelasnya.

 Tambah Che Ta, dia juga perlu bijak membahagikan masa kini kerana telah mempunyai anak kecil.

 “Kalau shooting drama biasanya mengambil masa panjang, adakala untuk 13 episod, penggambaran mengambil masa sehingga sebulan ke dua bulan.

 “Sebab itu saya lebih selesa menerima kerja sebagai hos sahaja,” katanya yang popular menerusi program Primadona ini.

 Tidak lupa berbicara mengenai perkembangan terbarunya, kata Che Ta, dia kini sedang sibuk dengan program bagi RTM iaitu Teh Tarik Che Ta.

 “Ia adalah program 13 episod yang menampilkan kisah-kisah artis veteran seperti Zaiton Sameon, Arman Shah, Rohana Jalil, Rubiah Suparman dan ramai lagi.

 “Antara sebab saya terima tawaran ni kerana ia adalah program menarik yang menceritakan sejarah mengenai penglibatan artis berkenaan daripada awal mereka bergelar artis sehingga kini.

 “Lagipun shooting tidak lama, untuk 13 episod berkenaan hanya ambil masa seminggu sahaja,” katanya berharap program 30 minit itu mendapat sambutan.

 Lancar wangian baharu 

 Dalam pada itu, kakak kepada pelakon Ayu Raudah ini memberitahu, dia juga sangat gembira kerana produk keluaran minyak wangi miliknya iatu Precious by RCW mendapat sambutan menggalakkan.

 “Saya melancarkan produk minyak wangi berkenaan di laman Instagram sekitar Mei lalu dan telah menerima tempahan awal dan sebanyak 40,000 botol minyak wangi.

Yang bestnya, minyak wangi tersebut dijual dalam masa dua hari sahaja.

 “Alhamdulillah, saya memang tak sangka menerima sambutan sebegini.

 Tak sempat saya nak buat majlis pelancaran, dah diterima ramai.

 “Apa pun, kepuasan pelanggan menjadi keutamaan saya. Harga pun murah dan saya sudah berniat untuk menjual produk yang mampu dimiliki semua,” katanya yang turut menjual tudung di bawah label Padusi.

 Ujar Che Ta, dek kerana sambutan memberangsangkan itu, dia akan melancarkan minyak wangi baharu dalam masa terdekat ini iaitu, Gorgeous by RCW.

 “Untuk jenama baru ini, saya tambah bilangan sebanyak 70,000 botol.

Walaupun tidak tahu penerimaannya lagi, tetapi saya turut berharap ia mendapat sambutan hebat seperti Precious,” katanya.

 Zain jual kasut 

 Sementara itu, mengulas mengenai majlis rumah terbuka mereka, kata Zain, ia diadakan kerana ingin mengumpul sanak-saudara dan rakan terdekat.

 “Alhamdulillah, akhirnya kami dapat juga peluang ini, sebenarnya ini pun plan last minit sebab saya dan Che Ta sibuk dengan shooting.

 “Kebetulan pula hari ini saya tiada shooting dan dia pun sama, jadi kami ambil kesempatan ini,” katanya yang popular menerusi siri Oh! My English.

 Sedikit mengenai perkembangan terbaharu Zain, dia juga baru sahaja tamat penggambaran musim terbaru Oh! My English.

 “Lain-lain saya sedang fokus kepada perniagaan kasut yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Kenapa saya pilih kasut... sebab saya memang sukakan koleksi kasut yang pelbagai,” katanya lagi.[SH]

No comments