Wednesday, June 17, 2015

#HOT~Dikritik peminat, Emma Maembong tak cepat melatah

Emma Maembong 

 KINI, ramai selebriti mula berhijab namun ia masih tidak dapat memuaskan hati semua peminat.

 Ini kerana, ada segelintir peminat yang tidak suka dengan cara pemakaian sesetengah selebriti berhijab yang dikatakan mengikut bentuk badan dan kelihatan seksi.

 Mungkin sudah lumrah bergelar selebriti, setiap gerak-geri mahupun susuk tubuh pasti saja menjadi perhatian.

 Itu juga yang dialami oleh aktres jelita, Emma Maembong yang dikritik hebat oleh peminatnya di laman sosial Instagram apabila dilihat tampil dengan imej tidak bersesuaian sebagai wanita berhijab.

 "Biarlah peminat nak kata apa pun kerana mereka tidak kenal diri saya yang sebenarnya. Lebih baik jangan menilai orang berdasarkan kepada pandangan luaran saja.

 "Lagipun, saya tak nak jadi seorang yang 'fake' hanya semata-mata mengikut kemahuan orang lain," katanya kepada Zass ketika ditemui di majlis memperkenalkan drama lakonannya, Jodoh Sebelah Pintu, baru-baru ini.

 Mengakui tidak berkecil hati, bintang drama bersiri Projek Memikat Suami ini sebaliknya menyifatkan teguran itu sebagai satu cara untuknya mempersiapkan diri ke arah yang lebih baik pada masa hadapan.

 "Saya tak kecil hati sebab saya juga manusia biasa yang kadang-kadang ada melakukan kesilapan.

 "Tetapi, jika teguran itu datang secara baik, saya akan ambilnya sebagai kata-kata nasihat.

Malah, ia akan membuatkan saya untuk lebih berfikir.

 "Lagi pula, saya baharu saja berhijab dan biarlah ia berlaku secara perlahan-lahan serta semula jadi.

 "Saya bukanlah berhijab kerana ikut trend. Apa yang penting, saya kenal diri saya," katanya yang berharap agar peminatnya memberinya ruang untuk memperbaiki diri.

 Sering kali ditempelak di laman sosial, pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail ini bagaimanapun tidak menganggapnya sebagai satu isu yang besar sekali gus memberi tekanan terhadap dirinya.

 "Kadang-kadang saya sendiri pun tak faham apa yang mereka (peminat) mahukan.

Apabila saya dah berhijab dan terdapat pula babak dalam bilik tidur dalam keadaan berhijab, pelbagai komen saya dapat.

Tapi, jika buat perkara sebaliknya, mulalah jatuhkan pelbagai hukum.

 "Mungkin ini adalah taktik untuk ‘perangkap’ artis agar melayan mereka.

Tapi, sejujurnya, saya tak ada pula rasa tertekan.

 "Cuma, apa yang saya kesalkan, tindakan mereka itu seolah-olah artis ini tidak ada perasaan sedangkan, artis ini jugalah yang akan menghiburkan mereka," katanya.[SH]

0 comments: