#ALBUM BARU~Opick promosi album sepanjang Ramadan

"RAMADAN tiba... Ramadan tiba... Marhaban Ya Ramadan... Marhaban Ya Ramadan...", itulah bait-bait lagu Ramadan Tiba nyanyian penyanyi popular dari Indonesia, Opick yang sering kedengaran apabila hadirnya bulan mulia ini.

 Meskipun hampir tiga tahun usianya lagu tersebut, namun ia tetap 'dekat' dengan masyarakat di Malaysia dan sering kedengaran di corong-corong radio serta kaca TV, khususnya di bulan Ramadan.

 Kali ini, Opick tidak berhasrat untuk melancarkan lagu sempena Ramadan, sebaliknya lebih fokus kepada soal mempromosikan album terbaharunya, Salam Rindu Ya Musthofa yang dilancarkan pada 5 Jun lalu.

 "Ramadan ini, saya hanya mahu tumpukan mengenai promosi album yang saya anggap terbaik daripada album sebelum ini kerana memuatkan lagu bersama iringan muzik yang lebih baik untuk dihayati.

 "Selain di Indonesia, promosi di Malaysia juga tidak dilupakan.

 "Dan untuk Ramadan pertama ini, saya akan menyambutnya di Jakarta bersama keluarga," katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis pelancaran albumnya itu, kelmarin.

 Menceritakan mengenai album terbaharunya itu, pemilik nama sebenar, Aunur Rofiq Lil Firdaus ini memberitahu, Salam Rindu Ya Musthofa memuatkan sejumlah lagu yang memuji Rasulullah SAW.

 Harapannya agar setiap lagu itu dapat dialunkan sepanjang Ramadan kerana terdapat banyak pengajaran dan peringatan untuk terus mengingati Rasulullah.

 "Antara lagu yang dimuatkan ialah Salam Rindu Ya Musthofa, Ya Rabbibil Musthofa, Ya Rosulullah (menampilkan Hafiz Hamidun), Berdendanglah, Andai Aku, Ketemukan Dirimu, Sholatun Bissalamil Mubin, Engkau Kekasih ALLAH dan Tola Al Badru.

"Ia diterbitkan oleh Tombo Ati Management dan diedarkan oleh Arteffects International bersama Sony Music Malaysia," katanya.

 Berkongsi keistimewaan albumnya kali ini, Opick memberitahu, terdapat satu lagu yang pastinya disukai peminat Indonesia dan Malaysia terutamanya apabila dapat menyanyikan lagu bersama dengan Hafiz Hamidun. 

"Memandangkan Hafiz merupakan penyanyi Malaysia yang juga banyak mendendangkan zikir-zikir ketuhanan, jadi saya memasang azam untuk berganding dengannya satu hari nanti.

 "Alhamdulillah, kami berjaya hasilkan satu lagu bersama yang dimuatkan dalam album ini dan nampaknya suara kami serasi bersama.

 "Saya juga banyak memberi ruang padanya untuk bernyanyi lebih daripada saya, berbanding jika artis jemputan lain yang selalunya hanya diberikan ruang lebih sedikit untuk menyanyikan lagu bergandingan," katanya.

 Bukan pendakwah 

 Mengimpikan untuk menjayakan persembahan dalam skala besar ke serata negara termasuk Amerika Syarikat, Opick memberitahu itu adalah salah satu strateginya untuk mengembangkan kerjaya seninya ke tahap yang lebih tinggi. "

Saya memang nak buat persembahan di mana-mana saja, tetapi saya tetap mahu membawa jati diri sendiri ke negara lain termasuk bahasa dalam nyanyian.

 "Buat masa ini, album saya menggunakan bahasa Indonesia, bahasa Arab dan bahasa Melayu kerana saya tahu, kita perlu bangga dengan bahasa sendiri.

 "Mungkin pada masa akan datang, akan diletakkan terjemahan bahasa Inggeris dan menyanyi dengan bahasa itu jika mahu ke peringkat antarabangsa," katanya.

 Mengulas pula berkaitan isu dia berdakwah dengan cara nyanyian yang dikritik segelintir pihak kerana tidak sesuai dengan cara Rasulullah berdakwah, Opick bersedia menerima segala kritikan dan menjelaskan caranya itu adalah berdasarkan kebolehannya untuk menyampaikan nasihat.

 "Mereka kata berdakwah cara bersyair atau menerusi muzik seperti yang saya lakukan bukan cara dakwah Rasulullah.

 "Tetapi apabila saya menyanyi, secara tidak langsung, ia turut mengingatkan pendengar tentang kebaikan dan ketuhanan, rasanya tiada masalah.

 "Saya tak pandai untuk memberi ceramah seperti pendakwah lain, apa yang saya boleh lakukan adalah melalui muzik serta syair yang mudah difahami kerana saya percaya Islam boleh disebarkan dengan pelbagai cara.

 "Sejujurnya juga, saya bukanlah terlalu berilmu tentang Islam, maka saya senang dengan cara penyampaian begini. Lagipun malulah bila orang cakap saya ini seorang pendakwah.

Saya lebih senang mengatakan saya hanya menyampaikan ajaran Islam," katanya.

 Opick yang juga kini aktif menjadi pengarah untuk filemnya sendiri bagaimanapun meluahkan rasa syukur apabila ramai peminatnya memberitahu mereka berhijrah menjadi seorang Muslim yang lebih baik kerana lagu-lagu ketuhanan yang dibawakannya. 

"Ada juga penagih dadah yang berubah apabila mendengar lagu-lagu saya.

 "Malah, ramai juga telah berubah kepada lebih baik apabila lagu-lagu saya menerapkan tentang Rasulullah dan kebaikan Islam.

 "Sebenarnya, Islam ini mudah, dan orang Mukmin dekat dengan ALLAH maka ramai tertarik dengan lagu-lagu ini kerana dapat mengingatkan mereka mengenai hal itu," katanya.

 Dalam perkembangan lain, Opick bakal kembali ke Malaysia untuk menjayakan persembahan anjuran Islamik Relief Malaysia (IRM) bersama beberapa penyanyi seperti Raihan, Humood Alkhudher dan ramai lagi pada 30 Oktober depan.[SH]

No comments