#GOSIP~Tasha Shilla makin kurus selepas putus cinta

APABILA bercakap mengenai cinta, banyak pepatah dan kata pujangga yang berbicara mengenai soal cinta, hati, perasaan antara manusia.

 Kerana cinta juga maka lahirlah kisah Laila dan Majnun, Mumtaz Mahal dan Shah Jahan, serta Romeo dan Juliet.

 Kata orang, cinta itu ubat dan cinta itu juga racunnya.

Kata orang kerana cinta manusia menjadi buta dan kerana cinta juga manusia mengenal erti kehidupan.

 Namun tidak semua kisah cinta berakhir dengan kesudahan yang menggembirakan.

Ada kisah cinta yang mendapat restu keluarga, namun akhirnya kecundang jua di tengah jalan.

 Begitu jugalah yang berlaku kepada aktres cantik, Tasha Shilla dengan kekasih hatinya, Hans Wong yang berakhir selepas tiga tahun bersama biarpun kedua-duanya sebelum itu sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga.

 Meskipun dikhabarkan sudah bangkit dari perpisahan tersebut, wajah Tasha yang kelihatan cengkung dengan susuk tubuh yang semakin kurus seolah-olah menggambarkan keadaan yang sebaliknya.

 Justeru, apabila ditanya media akan khabarnya, Tasha tidak berselindung dan mengakui beratnya kini sudah turun.

 “Memang berat badan Tasha turun sedikit. Sekarang, 48 kilogram (kg), tapi hanya turun dua kg sahaja berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian cawangan baru butik Dressing Paula di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.

 Di tebak adakah kisah cinta yang tidak kesampaian menjadi punca penurunan berat badannya, Tasha pantas menafikan episod duka itu sebagai punca.

 “Tasha tak nafikan ketika mula-mula kami putus, Tasha memang sedih. Tapi Tasha banyak muhasabah diri serta cuba perbaiki diri.

 “Pada masa sama, Tasha fokus kepada keluarga dan kerja. Lama–kelamaan, barulah Tasha mulai rasa ok kembali,” jelasnya.

 Enggan memberi komen mengenai isu orang ketiga yang dikatakan menjadi punca perhubungan mereka berakhir, aktres berusia 28 tahun ini bagaimanapun melihat kesalahan pada diri masing-masing sebagai punca.

 “Pasal orang ketiga, Tasha tak mahu komen. Tapi beberapa bulan sebelum kami berpisah, hubungan kami memang ada masalah. Mungkin juga kerana kami tidak bersedia dan tergesa-gesa menjalinkan hubungan cinta.

 “Jadi, atas sebab itu Tasha dan Hans sepakat untuk perbaiki diri masing-masing terlebih dahulu dan selebihnya kami serahkan pada takdir ALLAH SWT kerana kami hanya mampu merancang, ALLAH SWT yang menentukan selebihnya,” ujarnya.

 Tidak bermusuh dengan bekas kekasihnya itu, Tasha berkata, dia masih lagi berkawan baik dengan Hans dan keluar bersama sekiranya ada kelapangan.

“Kenapa nak bermusuh? Tak perlu berdendam. Sebaliknya pengalaman lepas, Tasha jadikan pengajaran.

 “Itu sebabnya kami masih berkawan. Ada ketikanya kami berjumpa, tengok wayang. Tetapi ini bukan bermakna Tasha masih mengharap pada Hans.

 “Bagi Tasha, persahabatan lebih baik berbanding percintaan. Dulu, timbul masalah seperti cemburu, tetapi sekarang, tidak lagi. Kami lebih memahami antara satu sama lain,” katanya yang kini bersedia berkawan dengan sesiapa sahaja.

 Bakal lancar produk 

 Tidak melihat episod putus cinta sebagai sesuatu yang perlu diratapinya, pemilik nama sebenar Natasha Sheila Abd Razak berkata, apa yang berlaku kini banyak memberinya motivasi.

 Dan kerana itu juga, dia bakal mengeluarkan produk pelangsingan sendiri tidak lama lagi.

 “Tasha akui putus cinta akan membuatkan seseorang itu berubah, begitu juga Tasha. Selepas apa yang terjadi, Tasha banyak memotivasikan diri sendiri, maka terhasillah sebuah produk pelangsingan badan yang Tasha usahakan bersama rakan.

 “Produk terbabit kini dalam proses dan apa yang boleh Tasha katakan baru 60 peratus selesai. Bila sudah siap sepenuhnya baru Tasha akan umumkan jenama produk terbabit.

 “Selain itu, Tasha juga menyertai kempen selama setahun bersama sebuah jenama produk kecantikan antarabangsa yang bertujuan membentuk semula wajah. Mungkin itu yang nampak muka Tasha runcing sedikit,” katanya.

 Lantang bersuara 

 Dalam pada itu, ditebak mengenai karakternya yang kini dilihat lantang bersuara kepada pengikut menerusi laman sosial, Tasha berkata, dia hanya berbuat demikian atas dasar peringatan.

 “Sebelum ini memang Tasha tak ambil pusing dengan komen pengikut di laman sosial. Tapi kita juga ada had dan kesabaran.

Tidak semestinya kami artis, orang boleh berkata apa sahaja.

 “Jadi, Tasha buat atas dasar peringatan bahawa kami artis ada juga perasaan.

Pengikut dan peminat kena terima kami seadanya dan Tasha tak mahu berubah semata-mata nak puaskan hati orang lain.

 “Apa yang mereka rasa kalau mereka di tempat Tasha?” katanya yang kesal apabila ada sesetengah gambar dipadamkan di laman sosial kerana laporan daripada peminat.

 Sementara itu, berkongsi perkembangan seninya, Tasha berkata, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran untuk drama berepisod yang berjudul, MAID (untuk siaran Astro), sebuah cerekarama berjudul, Khilaf Seorang Isteri untuk siaran TV3 dan drama berjudul Sujudku untuk siaran TV AlHijrah.[SH]

No comments