Tuesday, March 31, 2015

#OTAI~Peningkatan Usia Punca Jamal Abdillah Sukar Nyanyi Lagu Nada Tinggi

Pengalaman 30 tahun dalam bidang nyanyian dilihat membantu penyanyi Jamal Abdillah, 55, mengawal situasi sekali gus memukau kira-kira 900 penonton yang hadir pada konsert Jamal Abdillah Bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 28 dan 29 Mac lalu.

 Biarpun Jamal kelihatan mempunyai sedikit masalah suara, namun keadaan itu diatasi dengan bijak tanpa mencacatkan persembahan yang berlangsung selama dua hari itu.

Bagaimanapun, Jamal tanpa berselindung memberitahu lagu-lagu lama yang dibawakannya terlalu tinggi dan sukar untuk dinyanyikan pada usianya kini.
Jamal menyanyikan lebih 12 buah lagu popularnya 

Malah katanya, lebih mencabar apabila dia menyanyikan lagu tersebut bersama kumpulan orkestra MPO yang dipimpin oleh Ciaran McAuley.

 "Lagu-lagu lama saya ini semua high note dan susah nak bawa sekarang, saya terpaksa minum air banyak dan sekarang perut saya sudah penuh dengan air.

 "Susah bawa lagu dengan kumpulan orkestra sebab kita kena betul-betul dengar muzik mereka, ia sangat mencabar saya," ujarnya kepada penonton apabila beberapa kali dilihat gagal menyanyi mengikut susunan muzik orkestra tersebut.

 Persembahan berdurasi dua jam itu dibuka dengan nyanyian lagu medley Aku Penghibur dan Kau Lupa Janji.

 Jamal merupakan penyanyi Melayu kelima yang diberi peluang untuk beraksi bersama iringan MPO selepas Datuk Siti Nurhaliza, Tan Sri SM Salim, Datuk M Nasir dan Datuk Sheila Majid.

 Konsert tersebut menyaksikan Jamal membawa lebih 12 buah lagu malar segar yang mana menyusuri perjalanannya sebagai anak seni.
Antara lagu yang dibawakan ialah Di Sudut Kamar Hatiku, Terharu, Bicara Cinta, Kekasih Awal Dan Akhir, Gadis Melayu, Seniman Menangis, Penghujung Rindu dan Azura.

 Selain itu, dia turut membawakan lagu yang dipopularkan oleh Tan Sri P Ramlee iaitu Barang Yang Lepas Jangan Dikenang dengan susunan muzik yang digubah semula oleh Leonard Yeap.

0 comments: