#Azah dalami rasa hati

Selepas sekian lama menyepi dalam industri seni dan bidang pengacaraan di kaca televisyen, bukan bermakna wanita berkarisma ini hanya berdiam di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti berfaedah.

Memiliki personaliti menarik selain bijak menyusun tutur kata antara kelebihan dimiliki bekas pengacara rancangan 3R yang ditayangkan di TV3 dan Astro Ria satu ketika dulu, Azah Yazmin Yusof.

Wanita tinggi lampai yang kini bergelar kaunselor keluarga ini lebih banyak menghabiskan masanya bersama keluarga tercinta selain memberikan sepenuh komitmen pada kerjaya.

Menurut Azah Yazmin, selepas tamat pengajiannya beberapa tahun lalu, dia yakin keputusan berkecimpung dalam bidang kaunseling adalah tepat khususnya untuk membantu individu memerlukan.

“Selepas tidak lagi terbabit dalam bidang pengacaraan 3R, saya melanjutkan pengajian sebelum memilih untuk terus terbabit dalam bidang ini.

“Dalam memberikan khidmat kaunseling kepada individu yang mengalami masalah rumah tangga ataupun keluarga memerlukan saya lebih fokus selain mendalami perasaan serta masalah yang dihadapi mereka,” katanya.

Azah Yazmin yang kini menjalankan sesi kaunseling di pejabatnya di Pasar Seni, Kuala Lumpur berkata, kebanyakan kes yang dihadapi pasangan yang bermasalah rumah tangga adalah berpunca daripada orang ketiga.

“Perkara itu terjadi disebabkan hati pasangan tidak dibelai sehingga mencipta jurang antara suami isteri dan akhirnya mengakibatkan timbulnya perasaan tidak puas hati.

“Menangani masalah seperti itu memerlukan saya mendekati dan mencari punca utama masalah terbabit yang kebanyakannya memberi kesan negatif kepada anak-anak,” katanya.

Menurutnya, permasalahan dalam hubungan suami isteri kebanyakannya mengakibatkan anak-anak menjadi mangsa sehingga berlaku pemberontakan emosi kepada mereka.

“Apa yang sering saya harapkan setiap pasangan yang mengalami masalah perlu bertemu kaunselor berdaftar bagi mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan sebelum hubungan menjadi lebih bermasalah.

 “Kebanyakan pasangan yang bermasalah berasa malu untuk mendapatkan bantuan nasihat sehinggakan masalah yang dihadapi mereka menjadi semakin rumit dan akhirnya berlaku perceraian,” katanya.

Azah Yazmin berkata, tugasnya kini memerlukan dia mendalami perasaan dan permasalahan yang dihadapi pe–langgan menyebabkannya banyak mendapatkan bantuan dan pertanyaan daripada ibunya yang juga kaunselor.

 “Bukan mudah sebenarnya untuk kita membantu pasangan yang menghadapi masalah rumah tangga namun kesukaran itu tidak melemahkan semangat saya untuk terus membantu pasangan bermasalah.

“Selain perlu banyak berfikir, tugasan ini memerlukan saya lebih bersifat terbuka dalam mendengar dan mendalami masalah mereka yang pelbagai,” katanya.

Perkara paling penting dan mampu memberi kepuasan kepadanya dalam bergelar kaunselor apabila dia berjaya menyelesaikan sesuatu kes dan menyelamatkan hubungan rumah tangga pelanggannya yang bermasalah.

“Saya lega dan berpuas hati apabila dapat menyelamatkan hubungan rumah tangga supaya tidak berpecah dan pada masa sama dapat mengelak daripada berlakunya masalah keruntuhan moral anak-anak yang berpunca daripada perceraian ibu bapa.

“Kerjaya saya kini banyak mengajar saya erti sebuah kehidupan dan kebahagiaan dalam keluarga serta betapa pentingnya hubungan erat antara ibu bapa dan anak-anak,” katanya.

Menurut Azah Yasmin, apa yang dilakukannya kini diyakini lebih sesuai dengan jiwanya yang semakin matang berfikir dan bertindak dalam kehidupan.

“Saya selesa dan berasa tenang dengan apa yang saya lakukan ini serta sangat berpuas hati sekiranya dapat membantu pasangan suami isteri bermasalah.

 “Apa yang saya sering dengar terutama masalah dihadapi pelanggan juga membuatkan saya lebih bersyukur dan menghargai kebahagiaan yang dikecapi kini bersama keluarga selain cuba mengelak daripada melakukan perkara yang boleh menjurus kepada masalah,” katanya.

No comments