#KAHWIN~ Hanez Suraya Pilih WanPa Untuk Rekaan Baju Nikah

Tanggal 14 Mac akan datang, pastinya akan menjadi detik bersejarah buat pelakon cantik Hanez Suraya apabila dia bakal dinikahkan dengan pasangan hatinya, Romie.

 Malah detik bahagia itu juga akan menjadi lebih bermakna apabila pereka fesyen kegemarannya, WanPa telah bersetuju untuk menyiapkan persalinan akad nikah buat pelakon berkenaan.

 Bagi mengesahkan lagi berita berkenaan, Hanez Suraya dan bakal suaminya telah terbang bersama-sama pereka fesyen berkenaan, Ridzuan Ismail ke bandaraya Bangkok hujung minggu lalu untuk membeli kain untuk bakal mempelai dan juga ahli keluarga raja sehari berkenaan.

 WanPa yang dihubungi portal murai.com.my menerusi kiriman WhatsApp berkata, memang sudah lama pelakon berkenaan melamarnya untuk membuat pakaian di hari bahagia berkenaan.

 “Sebenarnya saya dan Hanez sudah lama mengenali satu sama lain. Kalau tak silap empat atau lima tahun.

 “Memang sudah lama dia memberi tahu saya, kalau dia kahwin suatu hari nanti, dia mahu saya buatkan baju untuknya.

 “Jadi, sebagai seorang rakan dan pereka fesyen tentu saja saya gembira apabila diberikan peluang ini, apatah lagi dengan pelbagai gosip yang melanda dirinya.

Akhirnya mereka kahwin juga,” kata Ridzuan Ismail.

 Jelas Ridzuan Ismail, dia bakal menyiapkan persalinan kurung moden dan Melayu moden untuk kedua-dua bakal mempelai pada majlis akad nikah.

 Dia juga dipertanggungjawabkan untuk menyiapkan gaun kembang untuk majlis bertandang ke kediaman lelaki tidak lama selepas itu.

 Bukan itu sahaja, kepakaran Ridzuan juga bakal diserlahkan pada persalinan keluarga pengantin perempuan pada hari bahagia berkenaan.

 “Untuk acara akad nikah nanti, Hanez memilih warna krim dan segala rekaan serta citarasa pakaian akan mengikut kehendak Hanez sendiri kerana dia mahukan sesuatu yang ringkas.

 “Jadi saya akan siapkan baju kurung moden buat Hanez, di mana fabrik yang kami pilih mengetengahkan motif floral sebagaimana yang anda dapat lihat pada kebanyakan koleksi Zuhair Murad,” katanya.[Murai]

No comments