#Tan Sri SM Salim Lupa Lirik Lagu Sendiri

DJ Dave menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Artis 1 Malaysia kepada SM Salim. 

 Penyanyi veteran terkenal, Tan Sri SM Salim, 87, mengakui jiwanya setia terhadap bidang nyanyian meskipun sudah tidak berpeluang melakukannya lagi.

Beliau yang lumpuh akibat sakit saraf sejak 15 tahun lalu dan kini terpaksa menggunakan kerusi roda terpaksa menolak tawaran persembahan nyanyian berikutan pernah gagal menghiburkan tetamu.

SM Salim ketika ditemui berkata, sehingga hari ini beliau masih ditawarkan persembahan nyanyian namun tidak mampu melakukannya meskipun hati dan semangat begitu kuat mahu menghiburkan orang ramai.

“Saya begitu mencintai bidang nyanyian. Bukan kerana duit semata-mata, tetapi ia sudah menjadi darah daging menyebabkan saya cuba juga untuk mengadakan persembahan.

“Namun nasib tidak menyebelahi saya apabila berada di pentas saya lupa dengan lirik lagu sendiri. Mungkin masalah pendengaran yang kadangkala mengganggu menyebabkan saya tidak dapat memberi fokus.

“Kadang-kadang lagu tidak masuk dengan tempo lirik yang perlu saya sebutkan,” katanya ketika ditemui di kediaman miliknya di Ampang, Kuala Lumpur, kelmarin.

Pada pertemuan itu, SM Salim turut menerima sumbangan daripada Yayasan Artis 1Malaysia yang diwakili Pengerusinya, Datuk Irwan Shah Abdullah atau DJ Dave.

Dalam pada itu, SM Salim turut mengulas mengenai industri muzik sekarang yang dilihat kebanyakan penyanyi melalui jalan mudah untuk terkenal dan berjaya.

“Penyanyi sekarang beruntung, nyanyi satu dua lagu sudah boleh hidup senang. Zaman saya dulu selain menyanyi, perlu menjadi pengacara dan pelawak baru dibayar RM60.

“Justeru, saya menasihatkan kepada mana-mana artis sekarang jangan cepat ‘demand’. Nyanyi dua tiga lagu sudah letak harga di luar jangkaan.

 “Selagi diberi peluang, menyanyi saja kalau rasa diri sudah hebat baru anda boleh minta harga yang selayaknya,” katanya.

Dalam pada itu, DJ Dave berkata, sumbangan daripada pihaknya sebagai penghargaan mengenang artis veteran yang banyak berjasa dalam bidang seni.

“Ini adalah sumbangan kali ketiga diberikan kepada SM Salim. Kita mahu mereka terus dikenang dan diingati, tanpa mereka tidak akan wujud pelapis baru seperti hari ini.

“Sumbangan ini juga diberi supaya mereka berasa diri masih dihargai dan diingati.

Selain itu, ia sebagai memberi semangat buat mereka yang pastinya merindui bidang seni, namun tidak dapat melakukannya lagi,” katanya.[myMetro]

No comments