Thursday, January 1, 2015

#PRIHATIN~Artis Turun Padang Bantu Mangsa Banjir Pantai Timur

Biarpun rumah sendiri di Pasir Mas, Kelantan ditenggelami air, pelakon Sheera Iskandar tetap membantu mangsa banjir di kampung halamannya.

Pelakon berusia 29 tahun itu ketika dihubungi semalam berkata, dia belum merancang untuk pulang ke kampung kerana mahu menyalurkan bekalan barang keperluan kepada mangsa.

 "Alhamdulillah, keluarga semua selamat dan mereka sudah pulang ke rumah selepas air surut.

"Saya memang ada niat untuk pulang menjenguk keluarga tetapi mahu mengutamakan keperluan mangsa yang terjejas," katanya.

Bersama rakan-rakannya, Sheera mengumpul makanan dan barang keperluan yang dihantar ke Pasir Mas menggunakan lori milik sukarelawan.

"Semalam (kelmarin), kami berjaya menghantar menghantar bekalan ke sana menerusi laluan darat.

"Bekalan ini hasil sumbangan orang ramai yang prihatin selepas membaca status yang dimuat naik dalam akaun Instagram saya," katanya.

Sheera berkata, keadaan di Pasir Mas kritikal kerana tiada elektrik selain bekalan makanan kurang.

"Apa mangsa perlu sekarang adalah air bersih, makanan, pakaian dan lilin, .

Saya turut diberitahu sukarelawan amat diperlukan," katanya.

Katanya, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh ke lokasi pengumpulan di Dewan Blok A, Apartmen Desa Mutiara Damansara dan maklumat lanjut mengenai misi bantuan itu menerusi akaun Instagram.

Selain Sheera, penyanyi Hafiz Hamidun turut prihatin terhadap nasib mangsa banjir di Pantai Timur.

Pelakon berasal dari Teluk Intan, Perak itu berkata, keadaan mangsa dan persekitaran kawasan banjir di Kelantan cukup menyayat hati.

"Ahad lalu, saya sempat meninjau beberapa kawasan terjejas di negeri itu dan mendapati ramai mangsa berdepan masalah bekalan makanan dan air bersih.

"Malah, mereka terpaksa masak nasi menggunakan air banjir. Ada yang tinggal sehelai sepinggang kerana kediaman musnah," katanya.

Hafiz yang melancarkan misi bantuan bersama rakannya berkata, bantuan kini lebih tertumpu kepada mangsa terperangkap yang tidak dapat sampai ke pusat pemindahan.
BARANG keperluan yang akan dihantar kepada mangsa banjir di Pasir Mas.

 "Berdasarkan maklumat daripada orang tempatan, terdapat ramai mangsa berlindung di kawasan bukit dan mereka tidak menerima bantuan.

"Selain itu, kami juga berusaha mengumpul seramai 50 sukarelawan untuk menghantar bantuan kepada mangsa di kawasan terpencil," katanya.

Penyanyi itu berkata, pihaknya sudah menghantar dua tan bekalan ke Kelantan menerusi penerbangan kargo dari Kuala Lumpur.

"Bekalan makanan dan barang keperluan ini hasil sumbangan dana orang ramai. Kini, kami amat memerlukan barangan seperti lilin, pakaian, air bersih, ubat, minyak angin, susu dan selipar.
SHEERA tetap prihatin dengan nasib mangsa banjir walaupun rumah keluarganya di Pasir Mas, Kelantan turut ditenggelami air. 

"Bagaimanapun, saya meminta orang ramai supaya tidak menderma baju kurung atau kebaya kerana kurang sesuai," katanya.

Katanya, maklumat lanjut mengenai sumbangan mangsa banjir di Kelantan boleh didapati menerusi akaun Instagram miliknya.

Sementara itu, penyanyi Misha Omar berkata, rumahnya di Kota Bharu, Kelantan tidak terjejas.

"Keluarga di kampung semua dalam keadaan baik dan rumah tidak dimasuki air kerana terletak di kawasan tinggi," katanya.[myMetro]

0 comments: