#REZEKI~Mawi-Ekin ditaja tunaikan umrah

WALAUPUN kurang publisiti, itu tidak bermakna Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani semakin kurang popular.

 Jika tidak, masakan IL Creatives Ventures dan Halcent Discovery Holidays Sdn Bhd mahu menaja juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu dan isterinya, Ekin mengerjakan umrah buat kali kedua.

 Pasangan sama cantik, sama padan itu ditaja menerusi program Kembara Umrah VIP Muhasabah Cinta pada Februari 2015 di bawah bimbingan Ustaz Hanafiah Abd Malek.

 "Sejujurnya, saya sememangnya bercadang nak pergi umrah buat kali kedua bersama isteri dan anak kami, Cahaya Malaika.

 "Ketika pertama kali saya dan Ekin mengerjakan umrah, doa kami adalah untuk mendapatkan Cahaya Malaika.

Oleh sebab itu, setiap kali memandang Cahaya saya berniat nak bawa dia bersama. 

"Tak sangka pula tiba-tiba ditawarkan peluang seperti ini. Alhamdulillah, ia rezeki kami," katanya.

 Dalam pada itu, Mawi menerusi syarikat miliknya, Mawi World Entertainment Sdn Bhd baru saja menjalankan program konvoi motosikal berkuasa tinggi bagi mengutip dana Tabung Kemanusiaan Gaza pada 6 dan 7 Disember lalu.

 Diberi nama program MWE Tabung Bantuan Gaza Palestine 2014, kata Mawi, program itu disertai 30 penunggang motosikal berkuasa tinggi dan turut mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Aman Palestin Malaysia.

 "Konvoi itu berlangsung selama dua hari di lima lokasi di Johor iaitu Tebrau, Pagoh, Mersing, Kota Tinggi dan Pasir Gudang.

 "Kami berjaya mengumpul sehingga RM34,000 di lima lokasi berkenaan. "Semua kutipan terus diberikan kepada Aman Palestin yang menyumbang untuk pembangunan infrastruktur Gaza," katanya.

 Oleh sebab sambutan yang baik, Mawi berhasrat menganjurkan program yang serupa khas buat masyarakat di negara ini yang memerlukan bantuan.

 Dalam perkembangan lain, sempena kedatangan Tahun Baru 2015, Mawi berhasrat membuat persembahan istimewa khas buat peminatnya ekoran sudah sedekad usianya di dalam industri seni hiburan.[SH]

No comments