#HEBAT~Konsert Mariah Carey pukau 10,000 penonton di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan sejak petang tadi tidak menghalang lebih 10,000 penonton untuk membanjiri Stadium Merdeka, Kuala Lumpur bagi menyaksikan konsert siri jelajah dunia penyanyi terkenal, Mariah Carey, ‘The Elusive Chanteuse’ Show Tour In Malaysia 2014.

Walaupun terpaksa mengenakan baju hujan, rata-rata penonton tetap tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing.

Konsert yang bermula jam 9.15 malam dan berlangsung selama dua jam itu dianjurkan IME Productions dan disokong Malaysia Major Events.

Pada malam yang cukup bermakna itu, Mariah, 44, yang pernah dikritik vokalnya kerana gagal membawakan lagu bernada tinggi dalam siri jelajah di Tokyo sebelum ini, ternyata berjaya memukau penonton dengan persembahan mantap.

Siri jelajah ini adalah sebahagian daripada inisiatifnya untuk mempromosikan bingkisan album terbarunya yang juga ke-14 berjudul Me. I Am Mariah... The Elusive Chanteuse yang dipasarkan pada Mei lalu.

Antara rangkaian lagu popular yang di sampaikan penyanyi bersuara emas itu sekali gus mengubat kerinduan peminatnya ialah Hero, Beautiful, We Belong Together, Butterfly dan banyak lagi.

Selepas Kuala Lumpur, Mariah akan meneruskan konsert siri jelajahnya di Singapura, Filipina, Australia dan New Zealand.

Sebelum mengadakan konsertnya di Kuala Lumpur, Mariah terlebih dulu menjayakan konsert di Tokyo, Jepun dan lima buah bandar di China.

Kali terakhir, diva pop ini menjayakan konsert di Malaysia ialah sempena An Intimate Evening with Mariah Carey Charmbracelet World Tour di lokasi sama pada 2004.

Mariah yang sudah 25 tahun berkecimpung dalam bidang muzik juga dikenali sebagai bekas juri program realiti popular American Idol bergandingan dengan Nicki Minaj dan Randy Jackson.

Kali terakhir Mariah muncul dengan album penuh ialah menerusi Memoirs of an Imperfect Angel ialah pada 2009.[myMetro]

No comments