#PANAS~Peguam Awie Pertikai Kelewatan Rozana Hantar Afidavit

Awie (kiri) dan isterinya, Rozana Misbun 

 KUALA LUMPUR: Peguam Syarie kepada vokalis kumpulan Wings, Awie mempertikaikan tindakan isteri penyanyi itu, Rozana Misbun ekoran kelewatan menghantar afidavit pembelaan untuk mengetepikan perintah injunksi (tegahan) secara ex-parte (sebelah pihak) yang dibenarkan mahkamah terhadap Awie sebelum ini terhadap tiga anak mereka.

 Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain dalam hujahannya berkata, pihak Rozana selaku responden kes berkenaan gagal menyerahkan jawapan berkenaan dalam masa 14 hari seperti mana diperintahkan mahkamah pada 21 Julai lalu.

 Jelas Mohd Zaidi, Rozana menerusi peguamnya Majdah Muda hanya memfailkan sehari selepas tempoh itu tamat dan ia jelas melanggar perintah yang dikeluarkan.

 Hujahan kes berkenaan didengar dihadapan Hakim Syarie, Mohd Amran Mat Zain di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Rabu.

 Bagaimapun, Majdah dalam hujahannya turut mempertikaikan tentang penyerahan perintah berkenaan yang dibuat oleh pihak pemohon pada 24 Julai sekitar pukul 8 malam.

 Majdah dalam hujahan balasannya berkata, sesuatu perintah yang diserahkan selepas pukul 4 petang dan diluar waktu pejabat tidak dikira sebagai tempoh itu bermula pada hari berikutnya.

 Mohd Amran bagaimanapun menetapkan Khamis (esok) untuk membuat keputusan berhubung kes berkenaan. Awie pada 22 Julai lalu berjaya mendapat hak penjagaan sementara ke atas tiga anak hasil perkahwinan mereka iaitu iaitu Putra Ahmad Merrah, 7, Putra Ahmad Rezzki, 6, dan Puteri Qasseh Antasha, 4.

 Awie turut mempunyai dua lagi anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan Arni iaitu Puteri Aleeya Antasha, 14, dan Puteri Aleefa Antasha, 12.

 Terdahulu Awie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu.

 Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.[mStar]

No comments