#TAHNIAH~Saya Berhijab Bukan Kerana Trend - Ziana Zain

TETAP anggun... Ziana Zain mula mengenakan hijab sejak Ramadan. 

RAMAI yang melahirkan rasa gembira apabila diva popular tanah air, Ziana Zain kini tampil anggun dengan imej berhijab.

 Keputusan itu dibuat oleh Ziana ketika seluruh umat Islam di dunia sedang menikmati kemuliaan bulan Ramadan yang lazimnya sinonim dengan bulan ibadah.

 Ada yang beranggapan, Ziana berhijab kerana trend, tak kurang juga ada yang mendakwa penyanyi itu bertudung cuma di bulan Ramadan sahaja.

 Biar apapun dakwaan yang dikeluarkan, Ziana pastinya mempunyai alasan dan pendiriannya yang tersendiri berhubung hal itu.

 Pancaindera menghubungi penyanyi terkenal ini untuk mendapatkan pandangan dan komen peribadinya.

 Ada yang mendakwa Ziana memakai tudung bukanlah dengan kerelaan hati sebaliknya kerana anak-anak yang minta. Boleh komen hal ini? 

 Benar, pernah anak-anak saya menyuarakan hasrat mereka supaya saya berhijab. Apatah lagi mereka sudah besar dan bersekolah di sekolah agama. Namun ingin saya katakan bukan kerana mereka paksa baru saya nak pakai sebaliknya kerelaan ini datang dari hati saya sendiri.

 Tiada desakan sesiapa? Daripada suami misalnya? 

 Tidak. Sepanjang saya berumahtangga, suami tidak pernah memaksa saya untuk tujuan ini. Cuma ya, dia ada memberitahu bahawa adalah tanggungjawab dia untuk memikul dosa isteri. Dia minta saya faham keadaan itu dan menyerahkan kepada saya apa yang perlu saya buat. Tetapi dia tak paksa.

 Sudah lama simpan hasrat untuk berhijab? 

 Sebenarnya sudah lama. Dulu pun saya selalu saja beli tudung tapi saya simpan, tunggu masa yang sesuai untuk dipakai. Saya suka imej hijab. Alhamdulillah apabila sudah terbuka pintu hati, saya amat bersyukur.

 Risau tak apabila ada andaian yang mengatakan berhijab membataskan aktiviti seni dan hiburan seseorang artis? 

 Tidak timbul soal itu. Patutnya kita risau apabila kita tak buat apa yang Tuhan suruh. Jangan disempitkan fikiran dan anggap bahawa bertudung membataskan aktiviti seni saya sebagai artis. Tidak. Kita kena reda dan saya percaya apabila reda segala perjalanan yang kita buat akan lancar dan dipermudahkan. Insya-Allah.

Apa pandangan Ziana bila sekarang ini ramai artis bertudung dan orang kaitkannya dengan trend?

 Kesedaran setiap orang berbeza-beza. Kebetulan ramai yang sudah berhijab dan ini satu perkara yang positif. Saya berhijab bukan kerana trend tetapi kerana sudah tiba waktunya untuk saya lakukan. Bila pintu hati terbuka dan sekarang saya berhijab, saya tak rasa beban malah rasa seronok dan selamat selain orang lebih menghormati diri saya. Tuhan tahu apa yang diaturkan untuk kita maka kita sebagai manusia kena terima segala ketentuan itu dengan reda.

 Jadi anda memang tak bimbang imej ini akan membataskan kerjaya sebagai seorang artis? 

 Kerja adalah kerja. Penampilan adalah penampilan. Lagipun saya percaya selagi ada rezeki Tuhan nak beri, saya akan terima. Paling saya terharu, rupanya ramai peminat saya yang menunggu saya untuk tampil bertudung. Apabila mereka dapat tahu saya bertudung, tak putus- putus saya terima ucapan tahniah atas perubahan saya. Mereka selama ini mendoakan saya. Ada yang menangis. Menangis gembira untuk saya. Alhamdulillah dan saya bersyukur sekali.

 Apa reaksi anak apabila anda sudah sepenuhnya berhijab? 

 Mereka cuma senyum sahaja. Iyalah... mungkin mereka tak pandai nak nyatakan dengan perkataan. Senyuman sahaja sudah cukup membuktikan yang mereka senang dengan imej baru ibu mereka.[Utusan]

No comments