Monday, June 23, 2014

#PANAS~ Gelora Rita Rudaini

GELORA yang melanda Rita Rudaini bukan kali pertama dihadapinya.

Bersama kekuatan yang ada dalam diri, dia meneruskan kehidupan biar jauh di sudut hatinya tersimpan derita yang dipendam kejap.

 Dia harus kuat demi dua cahaya matanya, Airit Rayyan Rizqin, 5 dan Airit Rafqa Arjuna, 3.

Permata hati ini harus dibesarkan dengan sempurna walau ada krisis melanda antara dia dan bekas suami.

  Kemelut Rita-Aidil Bagai tiada kesudahan!

 Bagai tiada kesudahan! Begitulah yang dapat disimpulkan tatkala kisah Rita Rudaini dan bekas suami, Aidil Zafuan Abd Razak kembali menjadi perhatian.

 Bermula dengan isu tuntutan nafkah tertunggak lebih RM100,000 difailkan Rita terhadap bekas suaminya yang juga pemain bola sepak kebangsaan, baru-baru ini. Rita kemudiannya berkongsi kekecewaannya apabila Aidil sekali lagi seolah-olah mempermainkan perasaan anak-anaknya apabila 'hilang' begitu sahaja selepas kedua-dua anaknya itu mula rapat semula dengannya. 

“Saya memang pantang kalau ada orang main-mainkan perasaan anak-anak saya. Dia ingat anak-anak saya tu anak patung? 

“Sebelum ini dia pernah berjanji dan bersumpah untuk tebus kesalahannya terhadap anak-anak, tapi lepas berkahwin dia mula lupa semua tanggungjawab dia,” luahnya kepada media ketika ditemui baru-baru ini.

 Tambah Rita, Aidil ada berjumpa dengan anak-anak beberapa minggu sebelum dia berkahwin dan dalam masa dua minggu itu, dia gembira melihat Arjuna dan Rayyan mula mengenali bapanya.

 “Ketika itu setiap hari Aidil datang ke rumah tidur bersama dengan anak-anak.

Sebagai seorang ibu saya bahagia melihat anak-anak saya gembira dan mula kenal ‘daddy’ mereka.

 “Bila budak-budak itu sudah rapat, boleh pula dia tinggalkan macam itu sahaja dan itu buat saya kesal dan marah,” tegasnya.

 Lebih mengejutkan, Rita membuat pendedahan berani dengan mengatakan isteri baru Aidil, Zarema Zainal sebagai punca Aidil gagal berhubung dengan anak-anak kerana disekat oleh wanita itu.

 “Apa yang saya beritahu sebelum ini semuanya daripada mulut Aidil sendiri.

 Kalau bukan dia yang cakap isterinya itu yang sekat aplikasi Whatssapp dan Wechat, mana mungkin saya boleh tahu dan berkata sedemikian.

Aplikasi Whatsapp itu disekat sebelum mereka berkahwin dan Wechat itu pula selepas berkahwin.

 “Aidil yang meminta saya muat naik aplikasi Wechat sebab senang nak berhubung dengan anak secara ‘video call’.

Saya menolak sebab tidak suka menggunakan aplikasi yang jarang digunakan.

Akhirnya saya akur kerana dia menggunakan alasan anak-anak.

 “Selepas muat naik, dia sempat buat panggilan video sekali sahaja dan disekat oleh isterinya tiga hari selepas itu kerana kantoi dia berhubung dengan saya dan anak-anak.

 Kemudian, Aidil menghubungi saya menggunakan nombor lain.

 Saya tanya, mana pergi telefon lagi satu dan Aidil menjawab isterinya ambil,” jelas Rita.

  Bahagiamu, deritaku

 Bahkan beberapa minggu sebelum Aidil berkahwin, sudah terdengar ura-ura bahawa kembar kepada Zaquan Adha itu hampir membatalkan hasrat untuk berkahwin.

 Dan perkara itu seolah-olah disahkan oleh Rita.

 “Dua minggu sebelum mereka dinikahkan, Aidil juga mengadu yang dia tak mahu kahwin," ujar Rita.

 Namun Aidil tidak mengambil langkah untuk berdiam diri sebaliknya, dia mempertahankan isterinya daripada tuduhan-tuduhan yang dilemparkan Rita kepada pihak media pada Rabu lalu.

 "Selama ini isteri saya tidak pernah menghalang saya untuk berjumpa dengan anak-anak. Saya terkejut apabila Rita menuduh isteri saya pula menyekat (block) aplikasi WhatsApp dan WeChat saya agar tidak dapat berhubung dengannya.

Rasanya tuduhan Rita itu sudah melampau," ujarnya.

 Manakala tinjauan Zass di Instagram Zarema mendapati wanita itu memuat naik sekeping gambar dengan kapsyen 'Beautiful moments make us stronger' (Momen yang istimewa menguatkan kami).

 Bukan itu sahaja, Zarema turut membalas segala komen rakan dan keluarga dengan ayat yang cukup ringkas, namun menggambarkan perasaannya kini.

 "Terlalu banyak cemuhan dek kerana gosip yang orang luar semua tidak pasti tentang kebenarannya dan kesahihannya.

Biarlah orang luar menghakimi segalanya.

Cukup keluarga dan kawan-kawan tahu Emma macam mana.

 "Terima kasih semua. Saya menghargai jika anda tidak berkata buruk tentang pihak satu lagi. Setiap kata-kata mencerminkan diri kita. Terima kasih atas segala doa dan kata-kata semangat untuk Emma dan Aidil," ujarnya.[SH]

0 comments: