Wednesday, May 21, 2014

#KRU:Selebriti Dan Empayar Perniagaan

MASIH ingatkah anda akan dialog ini yang dilontarkan ibu Sabariah, menerusi filem, Ibu Mertuaku?

 Ini membuktikan ramai di kalangan masyarakat pada era 60-an dan seabadnya amat memandang rendah akan kerjaya dalam bidang seni.

 Ketika itu, ramai yang menganggap kehidupan sebagai anak seni hanyalah indah khabar dari rupa, malah kemasyhuran itu akan hilang di makan dek usia.

 Dalam kehidupan selebriti yang penuh glamor dan popular, mungkin ada dalam kalangan masyarakat memandang kehidupan mereka hanyalah 'panas sementara' kerana pengakhirannya hanya derita.

 Persepsi negatif terus ditelan, namun tidak bermakna mereka hanya menadah untuk menerima cercaan.

Bagaimana pula dengan mereka yang berjaya membina dan memperluaskan empayar sendiri?

 Contohnya, lihat sahajalah perjalanan seni tiga beradik bernama Yusry, Edry dan Norman ini. Mula memperkenalkan diri sebagai KRU pada 1992, percaturan mereka sama seperti kumpulan anak muda yang lain termasuk 4U2C, Nico, Kool, 2 By 2 dan A To Z.

 Mereka mula menghasilkan muzik sendiri sejak di bangku sekolah lagi apabila ibu saudaranya membeli keyboard mainan untuk Norman sempena hari jadinya sehingga mencetus minat adik-adik terhadap muzik.

 Ketika itu, mereka menghabiskan waktu remaja di London, sekali gus terdedah kepada pelbagai irama muzik Barat walaupun di Malaysia dipenuhi lagu berentak jiwang dan rock balada.

 Album pertama, Canggih dan disusuli dengan album, Rekrued, kebanyakan lagu mereka berjaya memikat halwa telinga peminat termasuk, Awas, Oh La La, Apa Saja dan Gerenti Beres.

 Langkah demi langkah, kini, kumpulan syarikat, KRU Studios terdiri daripada KRU Films, KRU Records, KRU Matrix, dan KRU Communications.

 Lebih membanggakan, selain di ibu kota, cawangan KRU Studios terdapat di Amerika Syarikat, Singapura, Indonesia, Hong Kong dan Eropah. KRU Studios juga menerbitkan beberapa filem seperti Cicakman, Duyung dan Cicakman 2 - Planet Hitam serta menjadi penerbit bersama filem Hollywood iaitu, Deadline, Sunshine Barry & The Disco Worms, Planet 51 dan Vikingdom.

 Ini membuktikan, mereka bukan sahaja penghibur di pentas yang hanya tahu menyanyi, menari dan berlakon. Malah, adik beradik jutawan ini juga mempunyai misi dan bakat tersendiri dalam cabang industri.

 Sebagai abang, Norman dilihat lebih tajam dalam dunia perniagaan dan bijak menyusun gerak serta strategi untuk terus berjaya.

Yusry pula lebih tertumpu dalam kerja-kerja imej grafik berkomputer dan visual sehingga melayakkannya berada di kerusi pengarah, manakala Edry mendominasi kerja-kerja audio.

Inilah keistimewaan dan faktor mengapa mereka boleh berjaya!

 Bangga dengan pencapaian mereka, Zass turut melayangkan beberapa soalan kepada tiang seri KRU Studios, Norman Abd Halim, yang kini berada di Cannes, Perancis atas urusan kerja.

 Ikuti temu bual ini bersama Norman dalam berkongsi kisah pahit manis, pengalaman serta nasihat untuk golongan industri yang mendambakan kejayaan seperti mereka.

 Mula menapak dalam industri seni pada 1992, KRU berjaya mengekalkan populariti sehingga kini.

Bolehkah anda simpulkan perjalanan KRU sepanjang lebih 20 dekad ini. Kami bermula dengan bakat, minat dan semangat yang tinggi untuk berjaya dalam industri muzik. Saya masih ingat kali pertama lagu kami dimainkan di khalayak ramai semasa perlawanan bola sepak Selangor di Stadium Merdeka pada 1991.

 Kami adik-beradik berjumpa dengan pegawai FAS untuk menunjukkan sokongan melalui lagu, Viva Selangor. Walaupun mutu lagu berkenaan tidak berapa bagus, namun ianya mencetus semangat kami untuk mencipta dan merakamkan lagu lain dengan mengumpul lebih 10 lagu yang dijadikan dalam satu demo yang diedarkan kepada rakan-rakan di kolej.

 Entah bagaimana, demo tersebut sampai ke tangan EMI dan kami ditawarkan kontrak dengan wang pendahuluan sebanyak RM2,000. Itulah modal kami untuk mula berniaga.

Kami menandatangani kontak bersama EMI pada 19 Mei 1992. Kami terus mengembangkan perniagaan kami dari syarikat produksi dan pengurusan artis pada 1992 ke syarikat rakaman pada 1996. Pada 1997, kami menubuhkan KRU Motion Pictures (kini KRU Studios) untuk menghasilkan klip video, iklan TV serta rancangan televisyen serta syarikat pembekalan sistem bunyi dan pementasan untuk konsert anjuran kami.

 Bagaimanapun ujian paling getir adalah pada tahun 1997 apabila konsert KRUmania diharamkan sekitar tiga bulan dan ketika itu juga krisis ekonomi negara berlaku. 

Alhamdulillah, kami berjaya mengatasi masalah-masalah tersebut dan boleh dikatakan hanya pada tahun 2001, barulah kami berjaya membawa syarikat kami ke landasan yang baik.

Kami mengambil risiko yang besar pada tahun 2005 untuk menerbitkan filem Cicakman dan Alhamdulillah, filem itu berjaya mencatat RM5.2 juta dan menjadikannya filem yang meraih kutipan terbesar pada tahun itu.

Ketika itulah kami bertekad untuk mengembangkan perniagaan kami dalam penerbitan filem dan sehingga kini telah menghasilkan lebih 20 buah filem.

 Kerjaya muzik kami juga masih kekal relevan walaupun tidak aktif membuat persembahan lagi.

 Selepas 16 tahun bersama EMI dan menghasilkan 13 buah album, KRU akhirnya menyertai KRU Music (syarikat milik kami sendiri) pada tahun 2007 dan telah merakamkan beberapa single dan sebuah album berjudul, krunomena yang dikeluarkan pada tahun lalu.

 Sebagai Presiden Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, adakah kejayaan KRU pada hari ini adalah pencapaian di luar jangkaan? 

 Sesungguhnya saya tidak sangka boleh mencapai kejayaan sebegini memandangkan kerjaya seseorang artis adalah sekitar tiga hingga lima tahun secara purata.

 Boleh dikatakan perjalanan kerjaya kami adalah luar biasa dengan mentransformasikan nama kumpulan pop KRU sebagai satu jenama perniagaan dalam industri kreatif.

Kini kami telah menubuhkan KRU Academy bagi mendidik dan membimbing generasi baru untuk meneruskan perjuangan industri kreatif Malaysia di masa yang akan datang.

 Boleh kongsikan pengalaman pahit dan manis KRU sepanjang 22 tahun ini? 

Saya rasa kejayaan album kami sehingga terjual lebih 1,000,000 unit, konsert-konsert dalam dan luar negara sehingga ke Australia serta anugerah-anugerah industri kreatif adalah antara kenangan manis sepanjang berada dalam industri ini.

 Kenangan pahit pastinya apabila konsert kami diharamkan sekitar tiga bulan dan ketika itu juga timbul pelbagai tuduhan terhadap kami adik-beradik oleh beberapa pihak.

 Apakah yang menguatkan semangat anda bertiga untuk berdiri gah? 

Ibu bapa kami serta tanggungjawab terhadap semua yang menaruh harapan kepada kami termasuk peminat.

 Kami tidak mahu mengecewakan mereka dan setiap kali kami jatuh, kami bangun semula dengan semangat yang lebih kuat. Kami juga mempunyai musuh serta pesaing-pesaing yang ingin melihat kami gagal.

Kami mengambil sikap bahawa kami tidak mahu mereka berasa menang dan ketawa dengan kegagalan kami. Lebih dari itu dan yang paling penting adalah kepuasan dalam diri kami sendiri.

Kami sentiasa melihat ke hadapan dan ingin terus mencapai apa yang boleh di kecapi sepanjang kerjaya kami.

 Perkongsian perniagaan bersama adik beradik, adakah cabarannya lebih hebat berbanding perkongsian bersama orang luar? 

 Pastinya berniaga dengan adik-beradik mempunyai cabaran yang tersendiri.

Jika berniaga dengan orang luar mungkin lebih mudah berpisah kerana hubungannya mungkin lebih rapuh berbanding dengan hubungan adik- beradik. Bagaimanapun bekerja di antara adik beradik juga sukar kerana mungkin kami lebih vokal dalam mengkritik terhadap kerja masing-masing.

 Tetapi saya beruntung kerana Yusry dan Edry adalah profesional dan antara karyawan terbaik di Malaysia.

Sebab itulah saya rasa, kami boleh kecapi kejayaan sebegini.

 Bagaimana cara anda menyelesaikan masalah sekiranya ia membabitkan percanggahan ideologi serta pendapat? 

 Kami mempunyai konsep undian demokratik antara kami bertiga.

Keputusan dibuat berdasarkan keputusan majoriti atau sebulat suara.

 Diakui, bukan senang untuk artis membina empayar sendiri. Namun anda berjaya membuktikannya. Mungkin ada cara tersendiri yang anda bertiga gunakan? 

 Menjadi usahawan bukan satu kerja mudah. Ia memerlukan kegigihan, pengetahuan yang luas, kepimpinan dan modal.

 Kami mengambil sikap membina perniagaan sedikit demi sedikit dengan membina asas-asas perniagaan yang betul secara berperingkat.

Berniaga ini bukanlah satu 'sprint 100m' tetapi 'marathon' yang jauh.

 Untuk artis atau selebriti yang ingin mengikuti jejak langkah KRU, bolehkah anda kongsikan tips atau kriteria tertentu yang boleh diaplikasikan? 

 Kita harus berubah dan melihat persaingan sekeliling kita. Kita juga harus menghasilkan sesuatu produk dengan kreativiti yang unik.

Jangan tiru apa yang sudah sedia ada tetapi apa yang di luar sana boleh dijadikan sebagai penanda aras dan dijadikan konsep sesuatu produk.

 Contohnya sekiranya filem, KL Gangster dijadikan rujukan, janganlah pula semua sibuk meniru untuk membuat filem gangster tetapi boleh menghasilkan filem aksi dengan elemen-elemen lain dalam filem itu yang mendapat perhatian peminat.

 Siapakah individu atau ikon yang ingin anda contohi dalam mengukuhkan empayar? 

 Richard Branson adalah tokoh usahawan yang sering saya jadikan sebagai 'role model'.

Alex Ferguson saya jadikan 'role model' bagi asas membina satu pasukan.

Pemimpin-pemimpin negara kita juga saya jadikan inspirasi bagi memimpin kakitangan KRU dan membentuk dasar-dasar syarikat untuk mencapai kejayaan.

 Akhir sekali, apakah harapan atau nasihat anda kepada mereka yang turut mendambakan kejayaan seperti KRU? 

 Kita harus banyak bersabar dan sentiasa mengamalkan disiplin tinggi.

Tiada sesiapa yang berjaya mempunyai sikap malas atau mempunyai seribu alasan.

Kita juga harus bersyukur dengan apa yang kita ada dan tidak perlu dengki dengan kejayaan orang lain.

 Bagaimanapun, gunakan kejayaan pesaing kita untuk mendorong memajukan diri kita agar kita lebih berjaya dari mereka di masa yang akan datang.

 Pesaing sebenar kita adalah diri kita sendiri.

Sama ada kita ingin lebih maju ke hadapan atau terus berpaut dengan kejayaan lalu.

KRU ingin terus mengembangkan perniagaan dalam industri seni dan semoga jenama KRU akan menjadi syarikat Malaysia yang paling berjaya dalam industri kreatif di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Insya-ALLAH.[SH]