Tuesday, March 4, 2014

#PANAS~Teruk dikecam, Hanez Suraya terus berdiam diri

Aktres popular, Hanez Suraya Abdul Aziz, 29, hari ini mengambil pendekatan untuk terus berdiam diri walaupun terdapat hampir 1,000 maklum balas berbaur hinaan dan kecaman yang dilemparkan pengikutnya terhadap sekeping gambar yang dimuat naik di laman sosial Instagram miliknya.

 Bagaimanapun, Hanez Suraya ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengadakan satu sidang akhbar dalam masa terdekat untuk menjawab segala persoalan berkaitan hubungan intimnya dengan seorang ahli perniagaan yang hanya dikenali sebagai Mr. R.

 "Buat masa ini, lebih baik saya berdiam diri sahaja tanpa perlu mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan isu tersebut.

Kalau saya jawab sekarang pun, masih ramai orang di luar sana yang akan menghina saya tanpa usul periksa.
"Orang dah nak kutuk, saya tidak boleh buat apa-apa. Biarlah segalanya akan dijawab dalam sidang akhbar itu nanti.

Pasal tarikh, masa dan tempat, ia akan diuruskan oleh pengurus saya.

Beliau akan memaklumkan sendiri kepada pihak media," katanya, di sini hari ini.

 Terdahulu, Hanez Suraya pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau akan melangsungkan perkahwinan dengan Mr. R yang masih lagi berstatus suami orang pada penghujung tahun ini.

 Disebabkan kenyataan tersebut, pelakon Love You Mr. Arrogant itu mendapat kecaman bertali arus daripada peminatnya, apatah lagi hari ini, terdapat sebuah akhbar yang menyiarkan luahan isi hati seorang wanita yang didakwa isteri kepada Mr. R.

 Sementara itu, menurut Hanez Suraya, beliau cuma berharap agar semua pihak bersabar dan tidak membuat tuduhan melulu terhadapnya.

 "Jika ada tuduhan atau sebarang kenyataan yang melampaui batas, saya tidak teragak-agak untuk melakukan tindakan susulan bagi menjaga nama saya," tegasnya.