#PANAS~Norish Karman Tertarik Jadi Penyanyi Kerana Bayaran Tinggi

Norish bersyukur undangan nyanyian yang diterimanya cukup banyak. 

PETALING JAYA: Pelakon Norish Karman memberitahu dia mahu menumpukan kepada bidang nyanyian kerana bayaran yang diterimanya dalam bidang itu lebih tinggi berbanding lakonan.

 Norish atau nama sebenarnya Nor’asikin Karman, 39, berkata, selain bayaran yang dianggapnya berbaloi, masa untuk mengadakan persembahan juga tidak begitu panjang dan membolehkan dia pulang awal ke rumah untuk bersama anak-anaknya.

 "Kadang-kala bayaran yang saya terima untuk mengadakan persembahan kurang daripada satu jam sama nilainya dengan berlakon dalam sebuah telefilem yang mengambil masa seminggu atau lebih untuk disiapkan.

 "Alhamdulillah setakat ini undangan untuk mengadakan persembahan makan malam sentiasa ada dan saya semakin yakin bergelar penyanyi," katanya kepada mStar Online.

 Bagaimanapun kata Norish, itu bukan bererti dia ingin meninggalkan bidang lakonan sebaliknya akan terus dengan kerjaya tersebut yang telah menaikkan namanya selama ini.

 Malah katanya, banyak syarikat produksi ingin mengambilnya berlakon tetapi dia terpaksa memilih kerana bimbang diberi peranan sama seperti sebelum ini.

 "Mana mungkin saya akan tinggalkan dunia lakonan tetapi saya akui kini lebih selektif kerana tidak mahu asyik membawa watak sama sehingga membuatkan penonton bosan," ujarnya.

 Sementara itu, Norish berkata dia tidak peduli terhadap tanggap sesetengah pihak yang mempertikaikan kredibilitinya sebagai penyanyi kerana undangan nyanyian diterima adalah bukti dia mampu menyanyi.

 Kata Norish, nyanyian adalah sesuatu yang sudah lama diimpikannya dan dia mahu merealisasikan hasrat tersebut tahun ini.

 Dalam perkembangan lain, Norish berkata, dia sudah pun menyiapkan single terbaharunya dan akan mengadakan aktiviti promosi dalam masa terdekat.

 Selain itu, dia juga turut sibuk menguruskan perniagaan katering yang diusahakan sejak dua tahun lalu.[mStar]